AntarabangsaIsu Semasa

Veteran Tentera AS Terima Alat Kelamin Baru

Seorang veteran tentera Amerika Syarikat (AS) telah kehilangan alat sulitnya ketika peperangan di Afghanistan kini boleh menarik nafas lega apabila berjaya menjalani pembedahan pemindahan zakar dan skrotum yang pertama di dunia.

Memetik laporan Sky News, pembedahan kompleks yang berlangsung selama 14 jam tersebut dilakukan di Hospital John Hopkins di Baltimore pada 26 Mac lalu.

Golongan pakar yang terlibat terdiri daripada 9 orang pakar bedah plastik dan 2 orang pakar urologi,di mana mereka telah memindahkan keseluruhan zakar, kerandut tanpa buah zakar dan sebahagian kulit abdomen daripada penderma yang telah meninggal dunia kepada pesakit.

Pembedahan itu juga melibatkan penyambungan urat saraf kecil, saluran darah, kulit, otot, dan tendon bagi membina semula zakar serta tisu sekelilingnya yang luas.

“Saya akhirnya berasa lebih normal. Ia merupakan satu kesengsaraan yang sukar untuk dihadapi, tidak mudah bagi seseorang untuk menerimanya,” kata veteran yang enggan identitinya didedahkan itu.

Difahamkan, lelaki berkenaan akan dibenarkan untuk pulang ke rumah dalam minggu ini dan beliau juga dijangka akan mampu kembali membuang air kecil serta mengadakan hubungan seks dalam tempoh beberapa bulan lagi.

“Kami berharap pemindahan ini akan memulihkan ke tahap hampir normal fungsi kencing dan seksual lelaki muda ini,” kata ketua pembedahan plastik dan pembentukan semula, Dr WP Andrew Lee.

Di samping itu, golongan pakar bedah di John Hopkins menyifatkan kehilangan alat kelamin lelaki sebagai “kecederaan perang yang tidak diungkapkan.”

Berdasarkan statistik Jabatan Pertahanan AS, kira-kira 1,367 kakitangan lelaki telah merana akibat kecederaan berkaitan alat kelamin di antara tahun 2001 dan 2013.

Selain daripada tercedera dalam peperangan, seseorang individu juga boleh kehilangan alat kelamin sekiranya mengidap penyakit kanser atau terlibat dalam kemalangan.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker