Isu SemasaTempatan

Remaja Berusia 17 Tahun Isytihar Sokongan Terhadap Militan IS

Baru-baru ini, sebuah video yang tersebar dalam kumpulan perbualan militan IS di beberapa aplikasi media sosial menunjukkan seorang remaja lelaki rakyat Malaysia berusia 17 tahun yang mengisytiharkan sokongannya terhadap kumpulan tersebut.

Memetik laporan The Star, pemuda itu dilihat memakai penutup muka dan pakaian berwarna hitam sambil memegang bendera IS serta sebuah botol yang diisi dengan kain, yang dipercayai adalah bom molotov.

Difahamkan, remaja tersebut dipercayai mahu menggunakan senjata itu terhadap “musuh-musuh” IS, termasuk kerajaan-kerajaan sekular.

Video berkenaan telah dikongsikan di dua kumpulan perbualan aplikasi Telegram serta beberapa kumpulan WhatsApp.

“Kepada pasukan toghut, kerajaan toghut, kami akan lancar serangan atas pusat-pusat maksiat.

“Kamu tunggu laa, tak lama lagi, dan insyallah kami akan menang ,” katanya dalam video berdurasi 27-saat itu.

Walau bagaimanapun, ketua polis negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menyatakan bahawa Cawangan Khas Anti-Keganasan Bukit Aman telah menahan suspek pada 20 April.

“Kami sedar akan kewujudan video tersebut dan dakwaan ancaman yang dilakukan oleh remaja itu.

“Kami (polis) telah menahannya di Kuala Lumpur pada Jumaat lepas,” kata Mohamad Fuzi.

Ujarnya lagi, pihak polis melaksanakan tugas dengan proaktif dalam menahan dan menggagalkan rancangan keganasan militan IS.

Sejak bulan Februari 2013, cawangan khas tersebut telah berjaya menahan 389 anggota militan dan menggagalkan 19 plot serangan.

Show More

Related Articles

Back to top button