Politik

PRU14: Fikir Dahulu Sebelum Mengundi

Tidak lama lagi, kita akan membuang undi untuk memutuskan siapa yang akan memerintah negara dalam tempoh lima tahun akan datang.

Tetapi sebelum kita berbuat demikian, kita sepatutnya mengamati apa yang telah dicapai, apa yang kita ada hari ini dan di mana kita mahu berada dalam lima tahun akan datang.

Kita perlu menganalisis apa yang dijanjikan kepada kita dan apa yang akan direalisasikan kerana kita semua tahu bahawa tidak semua janji dalam manifesto politik dapat dilaksanakan.

Menjelang minggu berkempen, semakin banyak juga tuduhan dan fitnah yang ditimbulkan oleh kedua-dua pihak dan pastinya ramai antara rakyat Malaysia yang masih tertanya-tanya apa yang harus dipercayai dan tidak.

Di negara Malaysia yang berbilang kaum, satu isu kecil boleh bertukar menjadi isu besar apabila seseorang cuba untuk mengaut keuntungan peribadi. Ini kerana kebanyakan kita cenderung untuk mengikut emosi apabila seseorang membawa isu-isu sensitif dari perspektif mereka.

Masalah utama rakyat Malaysia adalah kita cenderung untuk mempercayai orang lain dengan mudah. Kebiasaannya, orang yang menimbulkan isu sensitif hanya akan memberitahu kita apa yang mereka mahu kita percaya. Mereka mendedahkan maklumat dengan menyembunyikan fakta sebenar, yang boleh membawa kepada salah tafsiran maklumat.

Oleh itu, kita perlu lebih berhati-hati dan mencari kesahihan fakta sebelum menerima apa yang diberitahu kepada kita.

Salah satu persoalan yang masih membingungkan fikiran adalah mengapa sesetengah pihak sentiasa mencuba untuk melukis gambaran negatif tentang setiap perkara yang sedang dilaksanakan. Sebagai contoh, undang-undang baru mengenai berita palsu. Mengapa terdapat kebimbangan mengenai pelaksanaan undang-undang ini?

Jika anda tidak menyebarkan berita palsu, anda tidak perlu risau atau takut. Tetapi jika anda telah menyebarkan kebohongan dan berita palsu, anda pasti akan merasakan bahawa undang-undang ini adalah suatu bebanan terhadap anda dan anda akan cuba mencari semua kesalahan sistem ini.

Kita harus sentiasa mengambil langkah atau melihat isu ini secara holistik dan menganalisis semua fakta dan butiran dan bukannya membenarkan emosi kita untuk membuat keputusan.

Emosi ini boleh berubah menjadi kebencian dan kemudian, tidak kira apa yang dikatakan oleh orang lain, kita akan selalu menganggapnya sebagai dusta atau pembohongan.

Kita boleh mengubah kerajaan seberapa kerap yang kita kehendaki tetapi tiada apa pun di negara ini yang akan berubah melainkan kita sendiri yang mengubah cara kita berfikir dan sikap kita terhadap segala-galanya dan mula bertanggungjawab atas tindakan kita sendiri.

Kita harus berhenti menuding jari atau mencari salah orang dan bersedia untuk berubah demi kebaikan kita. Perubahan mesti datang dari dalam diri kita sendiri.

Selepas kita sendiri mampu berfikir dan berubah, kita akan tetap teguh dengan pendirian kita sendiri walau apapun yang dikatakan oleh orang lain. – The Star

Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker