MalaysiaPolitikTempatan

Jom Kenali Calon Muda PRU-14 Di Negeri Sembilan

CARI NAMA SYAMSUL “DEBAT” DALAM KERTAS UNDI

Kok iyo pun suko bona kek sumbangan ni, jangan disimpan  eh dalam kabinet buek tayang kek oghang…Kang masak boreh tu yo…

Itu sebahagian seloroh dalam loghat Negeri Sembilan oleh Syamsul Amri bin Ismail, yang memecah perut sewaktu menyantuni salah seorang warga penduduk di Taman Desa Permai, Sikamat, Seremban.

Maksudnya; “kalau sekalipun terlalu gembira dengan sumbangan (yang diberikan), janganlah sampai disimpan ia dalam kabinet untuk dibuat tayangan. Sebaliknya masaklah beras dan barang-barang itu”.

Syamsul Amri atau Syamsul “Debat” sewaktu menyerahkan sumbangan kepada penduduk Taman Desa Permai di DUN Sikamat, Seremban.

Syamsul Amri, atau lebih popular dengan nama Syamsul “Debat”, merupakan calon muda dari parti Barisan Nasional yang akan bertanding di DUN N13 Sikamat dalam Parlimen P128 Seremban.

Berusia 41 tahun, anak jati Negeri Sembilan ini telah menempa nama sebagai penceramah bebas yang terkenal dengan seloka dan jenaka, sebelum dicalonkan di DUN Sikamat dalam perlawanan 3 penjuru di antara Barisan Nasional menentang Parti Islam Se Malaysia (PAS) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR). 

Bercakap mengenai agenda dan matlamat beliau terhadap golongan muda, Syamsul, yang mempunyai latar belakang sebagai lepasan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang Universiti Teknologi Mara memaklumkan bahawa beliau ingin mendekati dan memahami secara holistik kehendak golongan muda.

Apabila kehendak sebenar mereka dikenalpasti, maka proses pembangunan terhadap golongan ini dapat dilakukan secara berkesan.

Antara segmen utama yang diberikan tumpuan oleh Syamsul termasuklah:

  1. Pembangunan teknologi: Ini termasuk keperluan terhadap gajet, servis wifi dan pusat-pusat siber rakyat.
  2. Pemerkasaan ekonomi: Ini termasuk penyediaan dan akses kepada program dan peluang perniagaan serta kemahiran.
Syamsul menyantuni golongan muda di Sikamat

Mengakhiri pertemuan, beliau memberitahu Toodia bahawa jentera parti telah bersedia untuk memerah keringat dan menabur bakti kepada masyarakat di DUN Sikamat sekiranya berjaya merampas kerusi itu, yang sebelum ini dimenangi PKR selama dua penggal berturut-turut.

Beliau juga turut berpesan, memohon agar penyokong memangkah nama Syamsul “Debat” dalam kertas undi nanti, kerana itu nama yang digunakan pada PRU-14.

KAMI TAWARKAN PENYELESAIAN – PAS

“Kami percaya bahawa tawaran PAS kepada golongan belia boleh membantu memperkukuhkan ekonomi mereka”, ujar Mohammad Ghazali bin Abu Bakar sewaktu ditemui Toodia di Seremban.

Itu mencerminkan agenda PAS yakni bagi memberi jalan penyelesaian kepada masyarakat.

Calon parti PAS berusia 47 tahun itu bakal bertanding dalam perlawanan 3 penjuru di DUN N09 Lenggeng dalam Parlimen Seremban, menentang BN dan Parti Amanah Negara (PAN).

Kekuatan PAS di kawasan Lenggeng terletak pada langkah proaktif mereka mendekati semua lapisan masyarakat khususnya golongan muda.

Antara tawaran kepada kumpulan sasaran itu sekiranya PAS menang termasuklah: –

1. Menggantikan GST kepada cukai tersasar terhadap syarikat-syarikat korporat.

2. Memansuhkan pinjaman PTPTN sesuai dengan hasrat untuk menawarkan pendidikan yang percuma.

3. Menurunkan harga rumah kepada RM50,000.00 sehingga RM180,000.00 agar golongan muda dapat memiliki kediaman.

Mempunyai latar belakang selama lebih 20 tahun dalam politik, beliau cakna dengan keperluan warga muda, dan berharap agar mereka membuat pilihan yang paling baik untuk memilih pemimpin di DUN Lenggeng demi mewujudkan lanskap kehidupan yang sejahtera.

Calon PAS bagi DUN Lenggeng, Mohammad Ghazali Abu Bakar bergambar bersama penyokong beliau

“PUCUK MUDA” NEGERI SEMBILAN

Secara keseluruhan, Negeri Sembilan menyaksikan peningkatan jumlah calon muda dari setiap parti berbanding PRU-13 yang lepas.

Di pihak BN, terdapat sekurang-kurangnya 9 calon muda termasuk dari parti-parti komponen. Mengepalai mereka ialah YB Khairy bin Jamaluddin yang menyandang kerusi DUN P131 Rembau.

Manakala di pihak PAS pula, mereka meletakkan sekurang-kurangnya lima calon muda berusia kurang 45 tahun di seluruh Parlimen dan DUN.

Sementara itu, Pakatan Harapan juga tidak ketinggalan mempertaruhkan sejumlah besar kerusi mereka untuk calon muda, termasuk calon sebutan ramai iaitu J. Arul Kumar di DUN N10 Nilai.

Semestinya bukan sesuatu yang keterlaluan untuk menggelarkan PRU-14 kali ini sebagai pilihanraya orang muda.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker