AntarabangsaIsu Semasa

WhatsApp Tetapkan Had Usia Minimum 16 Tahun Bagi Pengguna Eropah

Aplikasi media sosial Whatsapp akan meningkatkan had umur minimum pada 16 tahun bagi pengguna-penggunanya di Eropah.

Memetik laporan Sky News, had umur minimum yang ditetapkan sebenarnya adalah 13 tahun, namun syarikat itu perlu mengetatkan lagi peraturannya berikutan undang-undang privasi data yang bakal diperkenalkan di Eropah pada bulan depan.

Undang-undang baru itu dikenali sebagai Europe’s General Data Protection Regulation (GDPR), yang merupakan pembaharuan peraturan privasi atas talian yang terbesar pernah dilakukan sejak kewujudan Internet.

GDPR akan membolehkan pengguna untuk mengetahui dengan terperinci mengenai data-data mereka yang tersimpan di dalam sistem media sosial, serta memberi mereka hak untuk membuangnya jika mahu.

Oleh yang demikian, Whatsapp yang juga dimiliki oleh syarikat gergasi media sosial Facebook, akan meminta para penggunanya mengesahkan bahawa mereka berumur sekurang-kurangnya 16 tahun dalam pembaharuan polisi pada minggu-minggu yang akan datang.

Antara perubahan lain yang diumumkan termasuk membolehkan para pengguna untuk memuat turun data-data mereka, seperti jenis peranti apa yang digunakan, senarai kumpulan dan kenalan, serta nombor-nombor yang telah disekat.

Walau bagaimanapun, umur minimum bagi negara-negara lain di luar Eropah masih kekal pada usia 13 tahun.

Difahamkan, WhatsApp mempunyai kira-kira 1.5 bilion pengguna di seluruh dunia setakat bulan Januari 2018.

Dalam pada itu, WhatsApp juga telah menghentikan rancangannya untuk meningkatkan data-data yang dikongsikan di Facebook susulan skandal yang melibatkan syarikat perlombongan data Britain, Cambridge Analytica (CA), baru-baru ini.

Syarikat itu telah mengambil data kira-kira 87 juta pengguna Facebook secara tidak wajar bagi menggunakannya untuk tujuan politik.

Hal ini sekali gus mencetuskan kemarahan orang ramai, dan ia turut menyebabkan pelbagai individu terkemuka, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk, untuk membuang akaun Facebooknya dalam kempen #DeleteFacebook.

 

 

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button