Gaya HidupMakan & Minum

Tak Kisah Makan Di Tempat Kotor Asalkan Sedap?

Apa pendapat anda tentang makan di tempat yang tidak pasti tahap kebersihannya tetapi menyajikan masakan yang enak? Mungkin ramai daripada kita akan tetap makan di situ tanpa menghiraukan tahap kebersihan tempat makan tersebut. Tetapi sedarkah anda tentang kesan yang bakal anda hadapi jika terkena jangkitan kuman sehingga membawa maut?

Pada tahun lalu, kecoh seketika di media sosial apabila kedai nasi kandar yang sangat terkenal di Pulau Pinang diarahkan tutup oleh pihak berkuasa kerana tahap kebersihan yang buruk. Tetapi kekecohan tersebut kebanyakannya bukan kerana premis tersebut kotor tetapi kerana mereka tidak dapat makan nasi kandar kegemaran selama dua minggu.

Tetapi jika anda fikir makan di dalam pusat membeli-belah boleh menyelamatkan anda daripada tikus, lipas dan sebagainya, anda akan fikir kembali hal tersebut apabila seorang pengguna media sosial berjaya menangkap gambar seekor tikus sedang berlegar di atas roti yang hendak dijual dan ada juga tular gambar tikus mati di antara kotak susu di dalam pasaraya. Apa yang lebih mengejutkan pusat membeli-belah ini merupakan antara yang terkemuka di ibu negara.

Memang premis-premis ini semua di ambil tindakan segera serta diarahkan tutup sehingga ia bersih dari tikus dan sebagainya tetapi secara lazimnya, jika terdapat makanan terdedah dan apabila sesuatu tempat itu kotor, memang tempat itu akan menarik perhatian tikus serta serangga perosak seperti lipas.

Apa yang menakutkan dengan kehadiran tikus ini ialah apabila air kencingnya terkena pada makanan dan kita termakan sisa tinja mereka lalu nyawa kita terancam jangkitan bakteria seperti Leptospirosis.

Belum lagi tentang hal pekerja makanan menggunakan sarung tangan sebagai prosedur kebersihan tetapi menggunakannya untuk menyediakan makanan, membersihkan meja, mengambil wang dari pelanggan dan membuang sampah. Semuanya menggunakan sarung tangan yang sama!

Sememangnya pihak berkuasa akan bertindak dengan melakukan pemeriksaan dan mengenakan denda ke atas premis yang didapati bersalah tetapi sejauh manakah kehadiran mereka boleh membantu membendung perkara ini serta-merta? Semuanya sebenarnya terletak pada sikap peniaga itu sendiri dan apa yang paling berkuasa ialah kita yang memegang hak sebagai pembeli.

Apabila kita sebagai pembeli tidak lagi membeli di premis tersebut, perniagaan itu akan sedar kesilapan mereka tidak menjaga kebersihan.

Sebagai seorang pembeli juga anda harus menyuarakan hak kepada pengendali makanan untuk mengamalkan cara kerja yang berhemah dan bersih.

Akhir sekali, diharapkan para peniaga dapat mengambil inisiatif yang tinggi untuk menjaga kebersihan premis makanan anda. Berikan latihan kepada pembantu kedai yang mengendalikan makanan untuk menjaga kebersihan dengan memakai pakaian bersih, membasuh tangan, memakai sarung tangan yang bersih apabila mengendalikan makanan sahaja serta cuci premis mengikut jadual yang ditetapkan.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Baca Juga

Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker