AntarabangsaIsu Semasa

Kerajaan China Pantau Kelakuan Rakyat

China merancang untuk memperluaskan sistem merit ke atas kesemua 1.4 bilion rakyatnya berdasarkan tingkah laku mereka menjelang tahun 2020.

Difahamkan, sudah terdapat hampir 11 juta penduduk negara itu yang dilarang daripada menaiki kapal terbang manakala 4 juta lagi tidak dibenarkan untuk menggunakan perkhidmatan kereta api di kerana telah melakukan pelbagai kesalahan.

Memetik laporan CBS News, program ini akan mula diperluaskan di seluruh negara secara berperingkat mulai minggu depan.

Menurut pihak kerajaan, langkah ini bertujuan untuk “menyucikan” masyarakat dengan mendidik mereka agar bersikap amanah dan mempunyai tingkah laku yang baik.

Ganjaran juga akan diberikan kepada rakyat yang berkelakuan baik manakala mereka yang bertindak sebaliknya pula akan dikenakan hukuman yang sewajarnya.

Individu yang mendapat skor mata baik akan menerima pelbagai manfaat seperti diskaun bil elektrik, dan juga kadar faedah yang lebih baik di bank.

Di Amerika Syarikat, ia mempunyai sistem skor mata untuk menilai sama ada mereka menguruskan kewangan dengan baik atau tidak.

Tetapi di China pula, sistem ini akan menilai kehidupan rakyat secara keseluruhan, termasuk jika mereka membayar cukai tepat pada masa yang ditetapkan, bagaimana cara mereka melintas jalan, serta apa yang mereka kongsikan di media sosial.

 

HUKUMAN BERAT DIKENAKAN KE ATAS PESALAH

Liu Hu, seorang wartawan, merupakan salah seorang rakyat yang dilarang untuk menaiki kapal terbang memandangkan beliau berada di dalam senarai “orang-orang yang tidak boleh dipercayai.”

Bukan itu sahaja, malah Liu juga dilarang untuk melakukan pelbagai perkara lain, antaranya adalah membeli hartanah, kenderaan dan juga mendapatkan perkhidmatan internet laju.

“Saya tidak boleh membeli sebarang hartanah. Anak saya juga tidak dibenarkan untuk memasuki sekolah swasta.

“Anda akan rasa seperti dikawal oleh senarai itu pada setiap masa,” katanya.

Dalam pada itu, kesalahan-kesalahan yang boleh menjatuhkan skor mata individu termasuk melakukan penipuan, mengelak cukai, dan juga menghisap rokok di kawasan larangan merokok.

 

PENGAJARAN KEPADA INDIVIDU YANG MELAKUKAN KESALAHAN

Walau bagaimanapun, terdapat juga individu yang menyokong pelaksanaan sistem merit ini kerana mempercayai ia akan memberi pengajaran kepada mereka yang melanggar undang-undang atau peraturan negara.

“Ia adalah satu perkara yang bagus. Perlu ada hukuman bagi mereka yang tidak boleh berkelakuan baik,” kata seorang wanita yang enggan namanya dikenali.

 

PIHAK BERKUASA BERPOTENSI MENYALAHGUNAKAN SISTEM INI

Menurut Ken DeWoskin, seorang individu yang telah mengkaji budaya politik dan ekonomi China lebih daripada tiga dekad, sistem ini dikendalikan secara rahsia dan ia boleh disalahguna oleh kerajaan.

“Saya rasa kerajaan dan pihak yang mengendalikan rancangan ini mahu ia diteruskan sejauh yang boleh….bagi menentukan bagaimana untuk mengagihkan manfaat dan bagaimana untuk membentuk kelakuan mereka (rakyat),” katanya.

Setakat ini, China mempunyai 176 juta kamera keselamatan dan bakal menambah kepada 600 juta kamera lagi pada tahun 2020 bagi membangunkan pusat kawalan negaranya.

Kamera rakaman litar tertutup yang dilengkapi teknologi pintar turut akan dibangunkan oleh syarikat SenseTime bagi menjejaki penjenayah dan juga rakyat biasa.

Ketua Pegawai Eksekutif SenseTime, Xu Li berkata, kamera itu boleh mengenal pasti setiap jenis kenderaan serta jenis individu yang dijejaki.

“Kami boleh mengenalpasti sama ada seseorang individu itu adalah orang dewasa, kanak-kanak, lelaki atau wanita,” ujarnya.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker