Hiburan

Diva Mariah Carey di Kuala Lumpur Oktober Ini

Berita gembira kepada peminat-peminat diva pop Mariah Carey! Penyanyi berusia 48 tahun itu dijadualkan untuk menghiburkan peminatnya di Malaysia buat kali ketiga pada 16 Oktober ini dalam konsert satu malam di Plenary Hall, Pusat Konvensyen KL.

Mariah Carey pertama kali mengunjungi Malaysia pada tahun 2004 sebagai sebahagian daripada konsert jelajah Charmbracelet dan kembali pada 10 tahun kemudian untuk The Elusive Chanteuse Show. Kedua-dua pertunjukan diadakan di Stadium Merdeka. Konsert pertamanya di Malaysia menarik 30,000 peminat.

“Kami sangat teruja untuk mempromosikan salah satu suara yang paling disayangi dan diiktiraf di dunia untuk malam kenangan yang dipenuhi dengan lagu-lagu hits yang memenangi pelbagai anugerah.

“Ini sentuhan hebat untuk 20 tahun kami membawa beberapa artis dan muzik terbaik untuk konsert di negara ini,” kata pengarah urusan PR Worldwide, R. Para yang telah memainkan peranan penting dalam membawa artis antarabangsa ke Malaysia seperti Ed Sheeran dan Selena Gomez.

Mariah Carey membuat kemunculan muziknya pada tahun 1990 dan dengan serta-merta menjadi superstar dalam industri muzik dunia.

Dengan rangkaian vokal padunya, Mariah Carey menjadi bintang pop segera kesayangan ramai. Lagu-lagu baladanya seperti ‘Vision Of Love’ dan ‘Love Takes Time’ dari album eponim yang dikeluarkan pada tahun 1990 menjadi siualan dunia.

Sejak itu, Mariah Carey telah menjual lebih daripada 200 juta album dan telah mencapai No 1 pada carta Billboard Hot 100 sebanyak 18 kali dengan hits seperti Dreamlover, Fantasy dan We Belong Together.

Selama bertahun-tahun, beliau juga memenangi pelbagai anugerah termasuk “Billboard’s Artist of the Decade”, Anugerah Muzik Dunia untuk “Artis Perempuan Jualan Terbaik Milenium” dan “Anugerah Ikon BMI” untuk pencapaian cemerlangnya dalam penulisan lagu.

Awal bulan ini, pemenang Grammy lima kali itu menjadi tajuk utama berita apabila beliau mendedahkan bahawa mengalami gangguan bipolar, lapor The Star.

Tiket untuk Mariah Carey Live In Kuala Lumpur berharga RM398, RM598 dan RM888 dan akan dijual bermula 27 April pada pukul 11 ​​pagi dan prajualan eksklusif untuk peminat bermula pada 25 April pada 11 pagi melalui www.prworldwidelive.com dan www.myticket.asia

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker