AntarabangsaIsu Semasa

2/3 Kementerian Singapura Diberi Kepada Menteri Muda

Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong telah mengumumkan rombakan kabinet besar-besaran pada Selasa, 24 April 2018, bagi memberi peluang kepada individu-individu yang lebih muda untuk memegang jawatan menteri dalam pentadbiran kerajaan.

“Rombakan pada tahun ini lebih besar daripada biasa. Menteri-menteri muda akan mengambil alih tanggungjawab untuk mentadbir Singapura secara beransur.

“Selepas rombakan ini, mereka (golongan muda) akan memimpin 2/3 daripada semua kementerian,” katanya.

Kabinet baru akan mula berkuatkuasa pada 1 Mei ini, di mana menteri generasi keempat (4G) akan mendominasi 10 daripada 16 kementerian.

Selain daripada memegang jawatan menteri, mereka turut akan diberikan pelbagai tugasan tambahan lain.

Memetik laporan Straits Times, umur purata menteri-menteri dalam kabinet baru berkenaan adalah 55 tahun, berbanding 56 tahun sebelum ini.

Oleh yang demikian, tiga orang menteri veteran akan bersara daripada jawatan masing-masing, iaitu:

1. Lim Hng Kiang, 64 tahun (Menteri Perdagangan dan Industri)

2. Lim Swee Say, 63 tahun (Menteri Tenaga Manusia)

3. Yaacob Ibrahim, 62 tahun (Menteri Komunikasi dan Maklumat)

Pengganti-pengganti kepada tiga jawatan menteri itu adalah Chan Chun Sing, 48 tahun, yang akan memimpin Kementerian Perdagangan dan Industri, diikuti Josephine Teo, 49 tahun, (Menteri Tenaga Kerja) dan S. Iswaran, 55 tahun (Menteri Komunikasi dan Maklumat).

Difahamkan, rombakan kabinet kali ini merupakan yang ketiga dalam penggal parlimen kali ini, dan ia juga disifatkan sebagai yang paling “signifikan.”

Rombakan besar-besaran terakhir dilakukan pada bulan Mei 2011, susulan pilihan raya umum yang menyaksikan undian terendah buat parti pemerintah, People’s Action Party (PAP) sejak negara itu mencapai kemerdekaan.

Sementara itu, Menteri Kewangan, Heng Swee Keat yang kekal di Kementerian Kewangan (MOF) menerusi Facebook berkata, perubahan itu akan “mengukuhkan lagi” Kabinet.

“Walaupun rakan sekerja dan saya melangkah ke jawatan baharu, kami akan membina kekuatan kolektif sebagai satu pasukan. Kami juga akan terus belajar dan mendapat manfaat daripada bimbingan perdana menteri, timbalan perdana menteri serta komuniti,” ujarnya.

Pada bulan Januari tahun ini, Perdana Menteri menyatakan bahawa rombakan kali ini merupakan langkah penting dalam memberi pendedahan dan membina barisan pemimpin yang baru.

Lee turut berkata, perlu ada pasukan baru yang sudah bersedia untuk mengambil alih tampuk pemerintahan negara daripadanya selepas penggal beliau tamat pada bulan Januari 2021 nanti.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker