AntarabangsaIsu Semasa

Siaran Propaganda Korea Selatan Dihentikan

Proses perundingan damai di antara Korea Selatan dan Korea Utara dilihat bergerak dengan lancar dan progresif setakat ini.

Salah satu perkembangan positif yang utama adalah keputusan Pyongyang untuk menghentikan ujian nuklear dan peluru berpandunya dengan serta merta.

Memetik laporan Reuters, pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un menyatakan bahawa negaranya tidak perlu lagi melaksanakan sebarang ujian lagi kerana ia sudah pun mencapai kejayaan dalam membangunkan senjata nuklear.

Kini, rejim itu berhasrat untuk membentuk hubungan antarabangsa yang sihat dengan negara-negara lain demi menggalakkan keamanan dan pertumbuhan ekonomi.

Bagi menzahirkan penghargaan ke atas Pyongyang, Korea Selatan juga telah mengambil langkah menghentikan penyiaran propagandanya di sempadan dengan Korea Utara bagi mewujudkan keadaan persekitaran yang aman menjelang sidang kemuncak yang akan diadakan pada 27 April ini.

“Kami berharap keputusan ini akan membolehkan kedua-dua Korea untuk menghentikan kritikan dan (penyebaran) propaganda dalam menentang antara satu sama lain dan juga mennyumbang untuk mewujudkan keamanan dan permulaan baru,” kata Kementerian Pertahanan Korea Selatan pada Isnin.

Ini juga merupakan kali pertama dalam tempoh dua tahun penyiaran propaganda Seoul dihentikan.

Kerajaan pernah menghentikannya buat seketika pada pertengahan tahun 2015, namun kembali menyiarkannya semula pada Januari 2016 berikutan pelancaran ujian nuklear keempat Korea Utara.

Walau bagaimanapun, masih belum ada kepastian sama ada Pyongyang akan mengambil langkah yang serupa untuk menghentikan siaran propaganda mereka.

Tetapi, negara itu telah memperlahankan suara siaran mereka di sempadan selepas upacara pembukaan Sukan Olimpik Musim Sejuk Pyeongchang di Korea Selatan.

Dalam pada itu, Kim dan presiden Korea Selatan, Moon Jae-in juga dijangka akan berhubung secara terus pada minggu ini buat julung kalinya menerusi sebuah talian khas.

Sidang kemuncak yang akan berlangsung tidak lama lagi ini merupakan yang ketiga seumpamanya di antara Korea Selatan dan Korea Utara.

Namun, Kim bakal melakar sejarah baru memandangkan beliau akan menjadi pemimpin Korea Utara yang pertama untuk menjejakkan kaki ke Korea Selatan sejak Perang Korea pada tahun 1950-1953.

Difahamkan, Perang Korea tidak ditamatkan menerusi sebarang bentuk perjanjian damai rasmi, tetapi hanya dengan mengumumkan gencatan senjata.

Jadi secara teknikalnya, kedua-dua negara itu secara tidak langsung masih berada dalam keadaan perang.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker