AntarabangsaBudaya

Che Guevara, Machu Pichu dan Wanita “Misteri” Di Peru

Siapa tahu apakah yang terdapat di Peru?

Selain popular sebagai salah satu negara yang dikunjungi oleh tokoh revolusi dunia Che Guevara pada tahun 1950-an, Peru juga terkenal kerana Machu Pichu.

Machu Pichu di Peru, Selatan Amerika

Che Guevara merupakan tokoh revolusi Cuba sekitar tahun 1960an, dan sewaktu beliau berkelana dengan motosikal ke Peru pada tahun 1952, beliau telah jatuh hati dan terinspirasi dengan Machu Pichu, iaitu kubu kaum Inca purba yang dibina di rabung pergunungan Andes nan indah dan penuh misteri.

Che Guevara (kanan) bersama tokoh revolusi Cuba, Fidel Castro (kiri)

Namun tahukah anda, bahawa selain Machu Pichu dan jejak kembara Che Guevara, Peru turut menempatkan satu lagi “susuk” lain yang misteri, bernama Las Tapadas Limenas.

LAS TAPADAS LIMENAS

Mereka merupakan komuniti wanita Islam elit di Peru yang berasal dari kalangan etnik Moors di Sepanyol. Penghijrahan mereka ke Peru berlangsung sekitar waktu kedatangan orang Sepanyol abad ke-16, di mana pada waktu itu kumpulan ini mempunyai pengaruh yang kuat terhadap cara hidup tempatan termasuk pakaian, makanan, seni bina, dan sistem sosial dan politik.

Mengekalkan ciri Islam dan Sepanyol, kaum wanita Moors ini mengenakan pakaian yang unik seakan-akan berpurdah. Ini membuatkan ramai kolonialis waktu itu jatuh hati dengan sentuhan misteri mereka; berpurdah di tengah-tengah Peru yang pada waktu itu merupakan hutan tebal kaum Inca.

Las Tapadas Limenas yang menjadi sebutan orang yang berkunjung ke Peru pada sekitar kurun ke-18
Ciri pakaian komuniti wanita Islam Las Tapadas Limenas di Peru

SEJARAH PERKEMBANGAN ISLAM DI PERU

Selain kaum Moors yang membudayakan Peru dengan wanitanya yang misteri, Islam  di sana turut dikembangkan melalui kehadiran warga Asia Barat pada sekitar tahun 1950-an, terutama dari Lubnan dan Palestin.

Rata-rata mereka merupakan pedagang yang hebat, maka lama-kelamaan kaum Arab di Peru ini akhirnya berjaya mengembangkan perniagaan dengan jayanya.

Namun, itu mengakibatkan mereka lupa akan identiti, dan lama kelamaan identiti Arab langsung dihakis dan digantikan dengan identiti Peru. Keturunan imigran ini masih wujud di Peru dalam jumlah besar, tetapi menurut pengendali laman Latin America Muslim Unity (LAMU), identiti dan kecenderungan agama mereka kini menjadi samar dan sukar dikesan.

Hal itu juga telah meninggalkan wanita-wanita Islam yang misteri –  Las Tapadas Limeñas – menjadi cuma sekadar sebuah lagenda.

PERU PADA WAKTU KINI

Kini dianggarkan sejumlah 18,000 umat Islam menetap di seluruh negara itu, dan menurut Damian Awad iaitu Presiden Pertubuhan Islam Peru, jumlah itu terdiri dari imigran serta kaum peribumi Peru yang memeluk ajaran Islam.

Damian Awad, Presiden Pertubuhan Islam Peru

Komuniti Islam di Peru disatukan melalui beberapa organisasi. Ini termasuklah: –

  1. Asociación Islámica del Perú
  2. Musulmanes Peruanos of Naqshbandi Haqqani tariqa.
  3. Asociación Islam Peru in Lima.

Sekumpulan muslim yang dedikasi juga telah mewujudkan laman web iaitu www.IslamPeru.org bagi memudahkan dunia luar mengenali Islam di sana.

PUSAT AGAMA ISLAM DI PERU

Terdapat beberapa buah masjid utama di Peru, termasuklah yang terbesar bernama Bab al-Islam di wilayah Lima, Peru.

Masjid Bab al-Islam di wilayah Lima, Peru

Di samping itu, Lima turut menempatkan pusat komuniti Islam di Magdalena del Mar, yang merupakan pusat tumpuan bagi umat Islam di Lima menjalankan kegiatan sosial di samping sebagai pusat menyebarkan dakwah.

Pusat ini mengalu-alukan kehadiran semua kaum bagi mengenali Islam dengan lebih rapat. Mereka juga kerap melakukan program-program samada sesama komuniti Islam mahupun dengan warga beragama lain bagi tujuan merapatkan lagi hubungan kemasyarakatan.

Pusat komuniti Islam yang terletak di Magdalena del Mar, Lima, Peru
Komuniti Islam Peru berkumpul di pusat komuniti Islam Magdalena del Mar
Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker