AntarabangsaIsu Semasa

Militan Jejaskan Persiapan Pilihan Raya Afghanistan

Pada hari Ahad, 22 April 2018, serangan yang dilakukan oleh seorang pengebom berani mati di luar pusat pendaftaran mengundi di Kabul, Afghanistan telah meragut nyawa sekurang-kurangnya 57 orang sementara lebih daripada 100 tercedera.

Menurut jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Najib Danesh, pengebom berkenaan berjalan kaki ke arah pusat pendaftaran itu ketika para pegawai sedang mengeluarkan kad pengenalan sebagai sebahagian daripada proses untuk mendaftar sebagai pengundi.

Serangan tersebut sekali gus mencetuskan ketakutan dan kebimbangan negara itu dalam membuat persiapan untuk melangsungkan pilihan raya yang telah lama tertangguh, pada bulan Oktober nanti.

Difahamkan, sistem pendaftaran baru ini direka khusus untuk membendung sebarang bentuk penipuan ketika mengundi yang dilaporkan pernah terjadi dalam pilihan raya – pilihan raya yang lepas.

Memetik laporan Reuters, kumpulan pengganas IS telah mengaku sebagai dalang disebalik pengeboman itu.

Presiden Afghanistan, Ashraf Ghani mengutuk insiden tersebut sekeras-kerasnya dan menegaskan bahawa “serangan itu tidak boleh melemahkan proses demokratik negaranya.”

Dalam pada itu, pegawai kanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Afghanistan, Tadamichi Yamamoto, turut mengkritik pengeboman tersebut.

“Tidak mengambil peduli terhadap nyawa orang awam, pembunuhan itu merupakan ‘usaha’ kumpulan pelampau untuk menghalang rakyat Afghanistan daripada melaksanakan hak mereka untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya,” katanya.

Berdasarkan statistik PBB, lebih daripada 750 orang telah terbunuh dalam serangan berani mati yang dilakukan oleh militan dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Difahamkan, lebih daripada 7,000 pusat pendaftaran mengundi telah ditubuhkan di seluruh negara tersebut untuk mengendalikan pendaftaran lebih daripada 10 juta pengundi.

Walaupun tahap keselamatan telah ditingkatkan susulan pelbagai insiden pengeboman yang berlaku sebelum ini, rakyat masih meluahkan rasa kesal dan menganggap kerajaan tidak melakukan yang terbaik dalam menjaga keselamatan penduduk.

“Mereka (kerajaan) sepatutnya memastikan negara ini selamat, jika tidak, orang lain patut mengambil alih tempat mereka,” kata Sajeeda, salah seorang mangsa yang tercedera dalam serangan itu.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Baca Juga

Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker