AntarabangsaIsu Semasa

Membuat Perjanjian Dengan AS Adalah “Perkara Yang Sia-Sia”

Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif memberi amaran kepada dunia supaya jangan mengadakan sebarang rundingan atau perjanjian dengan Amerika Syarikat (AS).

Beliau berkata, ini adalah kerana AS tidak akan terus kekal mematuhi perjanjian-perjanjian yang dimeterai, khususnya perjanjian nuklear Iran yang telah dipersetujui pada tahun 2015.

Memetik laporan CNN, perjanjian nuklear tersebut telah dikuatkuasakan pada tahun 2016 ketika pentadbiran bekas presiden Barack Obama.

Seperti yang tertakluk di bawah perjanjian itu, Iran bersetuju untuk mengehadkan program nuklearnya sebagai pertukaran agar sekatan ekonomi yang dikenakan ke atasnya ditarik.

Tetapi, presiden Donald Trump menyifatkannya sebagai satu perjanjian yang “dipenuhi dengan cacat cela.”

“Ia adalah satu mesej yang sangat berbahaya untuk dihantar kepada warga Iran dan juga kepada penduduk dunia.

“Anda tidak sepatutnya membuat sebarang persetujuan dengan AS kerana pada akhir sekali, prinsip AS berpegang pada prinsip ‘apa yang milik saya adalah milik saya, tetapi apa yang menjadi milik anda boleh dirundingkan,” katanya.

Ujarnya lagi, situasi ini memberi gambaran kepada dunia bahawa perjanjian tidak membawa sebarang makna lagi.

Dalam pada itu, Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan Canselor Jerman bakal mengadakan pertemuan dengan Trump untuk memujuk jutawan hartanah itu supaya terus mengekalkan perjanjian tersebut.

Walau bagaimanapun, Zarif berpandangan bahawa langkah tersebut merupakan satu usaha yang sia-sia.

Beliau turut memberi amaran bahawa sekiranya AS menarik diri daripada perjanjian itu, Iran mempunyai pelbagai pilihan lain yang boleh dipertimbangkan, termasuk memulakan semula kegiatan nuklear atau mengambil “langkah yang lebih drastik.”

“Kami akan membuat keputusan berdasarkan kepentingan keselamatan negara apabila tiba masanya;

“Namun walau apa pun keputusan itu, ia tidak akan menyenangkan Amerika Syarikat,” tegasnya.

Jelas Zarif, jika Iran memulakan semula program nuklearnya sekali pun, ia bukan untuk tujuan membangunkan senjata nuklear.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker