Bisnes & Ekonomi

Kuasa Memujuk Dalam Perniagaan

Pengaruhi pelanggan dengan bercerita

Dalam dunia digital kini, semakin ramai yang menceburkan diri dalam bidang perniagaan. Dalam saingan yang sengit, kejayaan seseorang peniaga akan ditentukan oleh keupayaan mereka untuk mempengaruhi dan memujuk pelanggan.

Untuk menarik pengguna, bercerita (storytelling) boleh dikatakan alat yang paling berkuasa dalam memajukan bisnes. Sebuah produk akan terjual dengan lebih baik jika ia mempunyai kisah yang baik di belakangnya, kata pakar komunikasi Indhran Marnickavsagar.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat media dan komunikasi digital, Sunshine Digital Pte Ltd, yang menggambarkan dirinya sebagai “pencerita strategik”, berkata ramai usahawan yang masih melupakan unsur penting dalam kisah yang baik.

“Otak kita sebenarnya terikat dengan cerita tetapi sering kali kita lupa tentang storytelling. Kebanyakan usahawan hanya cuba untuk berkomunikasi dari segi logik dan perspektif. Tetapi storytelling yang baik, menggabungkan emosi dan logik,” kata Indhran kepada The Star.

Beliau berkata banyak syarikat tempatan masih memilih untuk menjual dengan memberi tumpuan sepenuhnya kepada produk.

“Pada umumnya, kebanyakan syarikat memasarkan produk dari perspektif mereka sendiri. Mereka mengatakan betapa hebatnya dan betapa bagusnya produk mereka.

“Tetapi itu bukan apa yang orang mahu dengar. Sebenarnya, pengguna mahu mendengar apa yang produk tersebut boleh lakukan untuk mereka,” katanya.

Banyak syarikat hanya melihat bagaimana untuk meningkatkan jualan tanpa membuat strategi untuk mendapatkan pelanggan dengan menghayati “cerita” syarikat itu sendiri. Apabila pelanggan mengetahui cerita di sebalik sesuatu produk, mereka cenderung untuk menjadi pelanggan tetap.

“Anda tidak mahu orang membeli produk anda. Anda mahu mereka membeli produk anda, cerita syarikat anda, nilainya, dan apa yang diwakilinya,” katanya lagi.

Cerita anda mestilah bersifat peribadi. Fikirkan bagaimana jenama anda tercipta, apa yang memberi inspirasi kepada anda untuk mencipta syarikat dan apakah misi peribadi anda. Tetapi yang penting, fikirkan tentang apa yang ‘penonton’ perlukan apabila berbuat demikian.

Namun perlu diingatkan, bercerita bukanlah bermakna anda perlu mencipta cerita. Sebaliknya, cerita yang asli terhasil sejak mula apabila perniagaan anda wujud dan ketika anda menghasilkan produk utama syarikat.

Show More

Related Articles

Back to top button