Baru-baru ini pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un telah memberi status ‘Wanita Pertama’ kepada isterinya sebelum berlangsungnya sidang kemuncak bersama Korea Selatan dan Amerika Syarikat.
Ri Sol Ju sering dilihat menemani Kim Jong Un dalam beberapa majlis rasmi tetapi penampilan pertamanya di khalayak ramai adalah di persembahan ballet oleh sekumpulan penari dari China pada minggu lepas.
Media Korea Selatan merujuk beliau sebagai “Wanita Pertama yang dihormati” iaitu kali pertama gelaran itu digunakan dalam tempoh masa lebih 40 tahun.
Para penganalisis berkata gelaran tersebut diberi kepada isteri Kim untuk memperlihatkan negara itu sebagai negara ‘normal’.
“Menaikkan pangkat Ri Sol Ju adalah strategi pemasaran paling efektif,” kata An Chan-il, penyelidik pembelot yang mengendalikan World Institute for North Korea Studies, kepada AFP.
Tentang Ri Sol Ju
Sebelum ini, Ri diberi gelaran ‘komrad’ oleh media Korea Utara dan gelaran “Wanita Pertama” hanya pernah digunakan untuk Kim Song Ae, isteri kedua pengasas negara Korea Utara, Kim Il Sung.
Bagaimanapun, tidak banyak yang diketahui tentang Ri yang dipercayai berumur 29 tahun dan mempunyai tiga orang anak bersama Kim.
Menurut maklumat risikan Korea Selatan, Ri berasal daripada sebuah keluarga sederhana dan bapanya seorang guru dan ibunya ialah seorang doktor.
Beliau juga merupakan bekas ahli orkestra Unhasu Orchestra. Ri dilaporkan menghadiri sekolah muzik di China dan telah berkunjung ke Korea Selatan pada 2005 sebagai seorang ahli sorakan dalam acara sukan antarabangsa.
Selain itu beliau dikatakan minat dengan fesyen dan sering dilihat memakai pakaian mewah.
Trauma kehidupan
Sesetangah pihak berpendapat bahawa antara sebab Ri Sol Ju diberi pangkat “Wanita Pertama” adalah disebabkan ibunya yang lama dipinggirkan ketika berkahwin dengan bapanya.
Ibunya, Ko Yong Hui ialah seorang wanita berketurunan Korea yang dilahirkan di Jepun dan mempunyai tiga orang anak bersama bapa Kim Jong Il. Tetapi dalam masa 28 tahun perkahwinannya, Ko telah hidup dalam gelap.
Pada tahun 2004, Ko dilaporkan meninggal dunia akibat kanser payudara dan tubuh badannya diterbangkan secara senyap dari Paris di mana beliau menjalani rawatan.
Kim membina sebuah kubur khas untuknya pada tahun 2012 selepas beliau mengambil alih tampuk pimpinan negara.
“Saya berpendapat bahawa trauma Kim Jong Un melihat ibunya sendiri hidup di dalam gelap menjadi salah satu sebab untuk meningkatkan status isterinya,” kata seorang analis di Asan Institute for Policy Studies, Shin Beom-Chul.