AntarabangsaIsu Semasa

India Luluskan Hukuman Mati Untuk Perogol Kanak-Kanak

Kerajaan India telah meluluskan hukuman mati untuk perogol kanak-kanak, selepas satu kes rogol dan pembunuhan seorang kanak-kanak berusia lapan tahun dan beberapa siri serangan seksual lain yang mengerikan, telah mencetuskan kemarahan di seluruh negara.

Perdana Menteri India, Narendra Modi mengadakan mesyuarat kabinet untuk meluluskan undang-undang itu pada hari Sabtu ketika kembali dari sidang kemuncak Komanwel, kata seorang pegawai kerajaan.

Protes dan tunjuk perasaan telah tercetus di India sejak kebelakangan ini mengenai rogol dan pembunuhan gadis Muslim muda oleh sekumpulan lelaki Hindu di daerah Jammu dan Kashmir, yang meningkatkan tekanan terhadap Modi untuk mengambil tindakan.

Kabinet India meluluskan undang-undang yang meminda undang-undang mengenai keganasan seksual untuk membenarkan hukuman mati bagi mereka yang didapati bersalah merogol kanak-kanak di bawah usia 12 tahun.

Selain itu, menurut laporan Asia One, hukuman penjara minimum untuk perogol kanak-kanak juga diperketatkan.

“Ordinan itu akan dihantar kepada presiden untuk mendapatkan persetujuannya,” kata pegawai yang turut mengatakan bahawa kelulusan presiden hanyalah untuk formaliti.

India sebelum ini memperkenalkan undang-undang yang lebih ketat pada tahun 2013 selepas insiden permerkosaan kanak-kanak secara berkumpulan berlaku di New Delhi.

Pada 2012, seorang pelajar telah dirogol di dalam bas di Delhi. Kes itu turut mencetuskan kemarahan rakyat India dan menjadi berita utama di seluruh dunia.

Tetapi keganasan seksual, termasuk terhadap kanak-kanak masih tidak berkurangan di India dengan kira-kira 11,000 kes rogol kanak-kanak dilaporkan pada tahun 2015.

Protes baru-baru ini bermula selepas polis menuduh lapan orang Hindu merogol seorang gadis Muslim dalam usaha untuk memaksa masyarakat nomad mereka keluar dari kawasan yang dikuasai Hindu di Jammu dan Kashmir.

Kemarahan awam tercetus selepas polis memberi kenyataan bagaimana mangsa diberi dadah, diperkosa berulang kali semasa ditawan selama lima hari di kuil Hindu dan kemudian dipukul hingga mati.

India mempunyai hukuman mati untuk kes pembunuhan kejam dan serangan pengganas. Tetapi hukuman tersebut jarang dilaksanakan dan sering dibatalkan dengan rayuan oleh mahkamah yang lebih tinggi.

Keputusan baru ini memerlukan perbicaraan yang melibatkan mangsa kanak-kanak diselesaikan dalam masa dua bulan setelah penangkapan.

Perintah itu akan terus berkuatkuasa dalam tempoh enam bulan selepas persetujuan presiden, atau sehingga parlimen menggubal undang-undang tersebut.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker