Isu SemasaTempatan

Doktor Teddy Bear Malaysia Terima Pengiktirafan Commonwealth

“Doktor teddy bear” Malaysia, Dr Madhusudhan Shanmugam telah diiktiraf dengan anugerah Commonwealth Points of Light kerana menyediakan rawatan perubatan percuma kepada orang kurang bernasib baik melalui kliniknya ‘Teddy Mobile Clinic’.

Semasa mengetuai Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel di London pada 19-20 April, Queen Elizabeth II, yang merupakan ketua Komanwel, mengucapkan terima kasih kepada sukarelawan inspirasi atas usaha murni yang dibuat dalam komuniti mereka.

Suruhanjaya Tinggi Britain di sini dalam satu kenyataan berkata Dr Madhusudhan adalah antara penerima anugerah itu, lapor NST.

Dr Madhusudhan mendapat nama “doktor teddy bear” kerana memberi patung teddy kepada pesakit muda yang mendapatkan rawatan percumanya.

Klinik miliknya yang beroperasi di dalam van, menyediakan pemeriksaan kesihatan percuma, makanan dan pakaian untuk mereka yang tidak berkemampuan.

Dr Madhusudhan pada mulanya menanggung sendiri kos ubat-ubatan dan keperluan lain. Tetapi setelah usaha sukarelanya tular, para penderma mula menyediakan bekalan termasuk makanan, pakaian dan barang keperluan lain.

Inisiatif ini kini terdiri daripada sekumpulan 100 orang, termasuk enam doktor dan menerima sehingga 50 kunjungan pesakit setiap minggu.

Dr Madhusudhan berkata beliau berasa sangat terharu dan bangga atas pengiktirafan yang diterimanya.

“Ketika saya memulakan perjuangan ini, tujuan saya bukanlah untuk mendapatkan apa-apa bentuk penghargaan atau pengiktirafan, tetapi semata-mata untuk membuat perbezaan dalam kehidupan mereka yang memerlukan pertolongan,” katanya.

Dr Madhusudhan juga mengucapkan terima kasih kepada pasukan sukarelawannya atas sumbangan mereka.

Pesuruhjaya Tinggi British, Vicki Treadell berkata, Dr Madhusudhan merupakan contoh kepada orang lain.

“Dalam menyediakan rawatan perubatan kepada mereka yang memerlukan, Dr Madhusudhan memberi inspirasi kepada orang lain dengan mempromosikan kerja-kerja sukarela,” katanya.

Dr Madhusudhan benar-benar menjadi inspirasi terutama pada ketika penjagaan kesihatan berada pada kadar yang sangat tinggi. Pengiktirafan antarabangsa ini seharusnya menjadi inspirasi buat semua doktor supaya tidak mengutamakan wang tetapi meletakkan perhatian kepada pesakit.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker