AntarabangsaBudaya

Mexico: Islam Di Sebalik Pergunungan Yang Indah

Perkembangan Islam di Mexico merupakan fenomena yang agak baru. Ia dilihat mengalami fasa perkembangan pada sekitar era 1980-an dan 1990-an, dan disumbangkan oleh beberapa faktor seperti berikut: –

  1. Kehadiran imigran dari Asia Barat
  2. Revolusi Zapatista pada tahun 1990-an

Revolusi Zapatista itu merupakan satu bentuk gelombang kebangkitan rakyat akibat kesempitan hidup di bawah kerajaan yang bersifat kapitalis pada era tersebut.

Keadaan itu telah membuatkan sebilangan besar peribumi terutama dari etnik Maya dan Tzotzil memilih memeluk agama Islam, kerana agama itu menitikberatkan nilai kesabaran, kemaafan serta toleransi.

Revolusi Zapatista pada sekitar 1990-an yang turut disertai kaum Tzotzil di Mexico

KEHADIRAN ISLAM DI MEXICO

Menurut Pusat Islam Mexico, sebuah badan bebas yang menyelia urusan agama Islam di sana, kehadiran Islam ke Mexico agar sukar untuk dikesan. Namun melihatkan kepada bilangan pendatang dari Asia Barat seperti Syria, Lubnan dan Turki yang agak signifikan di negara itu, mereka membuat tafsiran bahawa kumpulan ini merupakan faktor kepada perkembangan agama Islam di sana.

Sungguhpun begitu, Pusat Islam Mexico mengalami kesukaran untuk menentukan jumlah sebenar penganut Islam di sana samada dari kalangan imigran mahupun lokal. Namun, Pew Research Center, sebuah badan antarabangsa yang lain menganggarkan bahawa terdapat kira-kira 100,000 orang Islam di seluruh negara itu.

PUSAT-PUSAT ISLAM DI MEXICO

Terdapat sekitar 20 buah masjid dan pusat Islam di seluruh Mexico, tidak termasuk kawasan-kawasan kediaman yang digunapakai bagi tujuan ibadah untuk kegunaan komuniti. Antaranya termasuklah Masjid Suraya di wilayah Coahuila dan Masjid Tahaarah di wilayah Chiapas.

Masjid Suraya di Coahuila

ISLAM DI MEXICO: PERTEMBUNGAN DUA PERADABAN

Di Mexico, komuniti muslim terbahagi kepada dua kumpulan. Pertama ialah muslim dari kalangan penduduk asli/tempatan yang memeluk Islam.

Kumpulan kedua pula merupakan imigran dari luar, biasanya dari Asia Barat terutama berbangsa Arab.

Satu kajian dibuat oleh Theresa Velcamp, dari Universiti Georgetown pada tahun 1999 memperlihatkan bahawa kira-kira 10% pendatang dari Syria atau Lubnan yang berhijrah ke Mexico beragama Islam. Hari ini, kumpulan ini merupakan contoh masyarakat Islam yang berjaya di Mexico.

Peniaga tacos al pastor, makanan Mexico yang dipercayai diasaskan dari kebab shawarma, yang diperkenalkan melalui imigran Lubnan ke Mexico

Sungguhpun begitu, hal yang sebaliknya berlaku dalam kalangan peribumi Tzotzil yang memeluk Islam.

Mereka tidak menjadi penyumbang besar kepada perkembangan ekonomi di Mexico, tetapi sekurang-kurangnya mereka tetap menyumbang kepada proses memperkayakan kebudayaan Mexico melalui amalan Islam dalam kehidupan mereka.

Di samping itu, proses islamisasi komuniti ini merupakan faktor utama yang membuka mata dunia untuk melihat perkembangan Islam di negara itu.

Ini kerana kekayaan budaya peribumi mereka telah mengundang nama-nama besar untuk lebih mendalami proses islamisasi kaum ini, termasuk pihak National Geographic dan Independent UK.

TZOTZIL: ISLAM DI PERGUNUNGAN NAN INDAH

Di selatan Chiapas, yang terletak di kawasan pergunungan yang rimbun, sekitar 400 penduduk dari etnik Tzotzil di sini memilih untuk menganuti agama Islam.

Tidak sukar untuk membezakan mereka, kerana orang lelaki Muslim di sini biasanya akan menyarungkan ketayap, manakala perempuan pula akan mengenakan selendang klasik kaum mereka untuk membaluti rambutnya.

Mendiami kawasan pergunungan indah yang terpencil, keadaan geografi itu sedikit sebanyak menyukarkan mereka mengembangkan dakwah Islam.

Chiapas juga adalah wilayah yang miskin, dan itu menyukarkan kaum Tzotzil Islam untuk memperoleh bekalan daging halal kerana harganya yang mahal.

Namun semua itu tidak melunturkan nilai dan pegangan mereka, sebaliknya menjadikan warga Islam Tzotzil lebih bersemangat untuk menonjolkan keperibadian muslim yang baik.

Misalnya sewaktu majlis korban, mereka akan segera mengagihkan daging korban yang halal kepada komuniti Kristian di sekitar Chiapas, sekaligus menonjolkan pekerti Islam yang mulia.

Anisa, seorang warga Tzotzil di Chiapas yang kelihatan ayu sewaktu menyarungkan selendang klasik etnik Maya
Pemandangan kawasan San Cristobal de las Casas di Chiapas Mexico yang sangat cantik dikelilingi pergunungan yang menghijau

PENERIMAAN WARGA MEXICO TERHADAP ISLAM

Islam hari ini mula mendapat perhatian dan pengiktirafan oleh warga Mexico yang lain, termasuk dari kalangan institusi, universiti dan badan kerajaan. Ini adalah disebabkan oleh sikap baik dan harmoni yang ditonjolkan oleh komuniti Islam di sana, samada dari kalangan lokal mahupun imigran.

Keharmonian dan keluhuran pekerti yang ditonjolkan juga semakin mendekatkan warga Mexico yang bukan Islam untuk lebih mengenali agama itu, di samping mendekati komunitinya yang kaya dengan kepelbagaian tamadun dan budaya.

 

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker