AntarabangsaBudaya

Islam Di Colombia: Permata Dalam Lumpur

Colombia di Selatan Amerika boleh diibaratkan sebagai sebuah permata yang tenggelam dalam lumpur.

Ia adalah sebuah negara yang indah; terima kasih kepada banjaran Andes yang memukau pandangan.

Namun di sebalik keindahannya, ia dicacatkan dengan konflik yang tidak berkesudahan antara kerajaan dengan kumpulan gerila FARC (Revolutionary Armed Forces of Colombia).

Lebih memalitkan lumpur ke atas bumi hijau penuh subur itu ialah apabila gunung-ganang di sana dijadikan safehouse oleh kartel-kartel kokain terbesar dunia.

Namun, di celahan bumi hijau yang serba kontras itu, berdiamnya sekolompok komuniti Muslim yang masih cekal untuk terus mempertahankan identiti dan jatidiri.

Seorang anggota gerila FARC yang cantik bergambar dengan latarbelakang pergunungan Colombia yang juga sangat memukau pandangan

ISLAM DI COLOMBIA

Menurut laporan Pew Research Centre, dianggarkan terdapat sekitar 14, 000 penduduk Islam di Colombia, dan mewakili jumlah yang sangat kecil berbanding keseluruhan populasi Colombia yang seramai 47 juta. Mereka berpusat di sekitar kawasan Bogotá, Maicao, Buenaventura, San Andrés, dan Santa Marta.

Walaupun jumlah mereka kecil, namun kehadiran mereka di Colombia tetap memberi impak yang signifikan, lebih-lebih lagi setelah komuniti Islam di Maicao, Colombia berjaya membina masjid ketiga terbesar di benua Amerika Selatan iaitu Masjid Omar Ibn Al-Khattab.

Masjid Omar Ibn Al-Khattab di Maicao, Colombia

Kebanyakan umat Islam di Colombia adalah daripada keturunan imigran Arab dan Afrika, dan mendahului mereka daripada segi jumlah ialah imigran dari Lubnan yang seramai lebih 800,000.

Namun, cuma sebilangan kecil dari mereka beragama Islam.

Gelombang penghijrahan terbesar berlaku sekitar 1940-an, apabila “emas hitam” iaitu petroleum ditemukan di negara jirannya Venezuela, dan Colombia turut menerima tempiasnya.

Ini memberi keuntungan ekonomi kepada imigran termasuk komuniti Islam berketurunan Arab, dan membantu meningkatkan kualiti dan taraf hidup mereka di Colombia.

Komuniti Arab dari Lubnan yang menetap di Colombia

HITAM DAN PUTIH WARNA KEHIDUPAN

Sementara komuniti imigran muslim dari Asia Barat berjaya membina kehidupan yang agak baik, keadaan itu berbeza dengan warga Islam Colombia yang berketurunan Afrika.

Panas terik mentari di wilayah Buenaventura, iaitu bandar pelabuhan terbesar negara itu semakin menggelapkan kulit mereka, dan itu sudah menjadi lumrah bagi mereka memandangkan rata-rata warga muslim dari Afrika di sana menyara hidup sebagai nelayan yang berpanas di lautan.

Seorang ketua komuniti muslim Afrika di Buenaventura, Sheik Munir Valencia berkongsi bahawa Islam di sana dibawa oleh Esteban Mustafa Meléndez, seorang kelasi kulit hitam dari Amerika.

Sewaktu kehadiran Meléndez, di samping membawa ajaran Islam, beliau turut menerapkan semangat perpaduan dalam kalangan warga kulit hitam di bandar pelabuhan itu.

Sheikh Munir Valencia sewaktu ditemuramah wartawan The Guardian
Sheikh Munir Valencia sewaktu mengimamkan solat di masjid usang di Buenaventura, Colombia

KEHIDUPAN SEBAGAI KOMUNITI MUSLIM DI COLOMBIA

Menurut seorang warga muslim yang menetap di Medellin, Ahmed Dusuki iaitu imam besar di Medellin, kehidupan komuniti Islam di Colombia disimpulkan seperti berikut: –

Rata-rata komuniti Islam hidup dengan aman dan harmoni bersama warga Colombia yang lain, yang majoriti beragama Kristian. Kedua-dua komuniti saling bertoleransi dan menunjukkan rasa hormat sesama mereka.

Keharmonian itu juga membuka peluang kepada masyarakat untuk lebih mengenali Islam, dan secara tidak langsung menarik lebih ramai orang untuk menerima roh Islam ke dalam nurani masing-masing.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker