Gaya HidupKesihatan

4 Sebab Susu Ibu Boleh Berdarah

Ramai ibu pada zaman sekarang ini adalah ibu yang bekerja. Oleh itu, kebanyakan para ibu harus menggunakan pam untuk mengeluarkan susu badan di waktu pejabat. Warna susu bagi setiap ibu adalah berbeza tetapi jika anda dapati susu anda berwarna merah jambu atau merah, ia berkemungkinan disebabkan darah. Bagaimana perkara ini terjadi?

Sumber: www.megamum.com
Sumber: thisisinsider.com

 

 

 

 

 

 

1. Puting atau daerah berhampirannya tercedera 

Jika payudara anda melecet atau luka, kemungkinan besar kecederaan tersebut akan terjadi akibat lekapan bayi yang tidak betul. Adakalanya kekerapan memerah menggunakan pam juga boleh menyebabkan puting payudara luka.

Sekiranya ini berlaku, ibu haruslah merawat keadaan puting yang luka itu kerana sekiranya tidak dirawat, dikhuatiri puting yang luka itu boleh menjadi punca kepada jangkitan payudara atau mastitis (bernanah).

2. Sindrom paip berkarat

Situasi ini sering berlaku terutamanya pada awal kelahiran atau penghujung kehamilan tetapi ia tidaklah berbahaya. Fenomena ini terjadi akibat peningkatan bekalan darah dan pembengkakan pada salur darah kepada sel-sel tisu alveoli (kantung susu).

Ia akan beransur pulih sendiri tanpa memerlukan sebarang rawatan dalam tempoh 3-7 hari dan ibu masih boleh meneruskan penyusuan kepada bayi tanpa rasa was-was kerana kuantiti darah yang bercampur adalah sedikit untuk menyebabkan masalah kepada perut si kecil.

3. Ketumbuhan kecil dalam saluran duktus payudara

Perkataan ketumbuhan sering menakutkan kita tetapi sebenarnya ia tidak merbahaya. Dalam bahasa saintifik ia dikenali sebagai ‘Intraductal papilloma’. Ia mengakibatkan lelehan berdarah yang tidak kerap, tidak sakit dan selalunya berlaku pada salah satu puting payudara.

Keadaan ini boleh dirawat dengan kaedah pembedahan kecil. Sekiranya lelehan pada puting masih berdarah walaupun selepas pemberhentian susu ibu atau lelehan puting berdarah dengan semakin teruk semasa menyusu, ibu dinasihatkan untuk berjumpa doktor bagi pemeriksaan lanjut.

4. Kanser payudara

Kanser payudara adalah kanser yang boleh terjadi ketika hamil dan merupakan kanser kedua yang kerap terjadi ketika hamil selain kanser pangkal rahim. Kanser payudara yang dikaitkan dengan kehamilan didefinisikan sebagai kanser yng berlaku ketika tempoh hamil atau dalam masa setahun selepas kelahiran. Kebarangkalian ia berlaku adalah 1-3 kes dalam 10,000 wanita hamil dan selepas kelahiran.

Kekerapan kes ini dikaitkan dengan peningkatan wanita yang menunda kehamilan mereka pada umur yang meningkat. Selalunya wanita yang mengalami kanser payudara akan menjumpai ketulan yang tidak menyakitkan pada payudara. Sekiranya ini terjadi, si ibu harus berjumpa dengan doktor dengan kadar segera untuk pemeriksaan dan siasatan lanjutan.

Bolehkah kita memberi susu ibu berdarah kepada bayi?

Susu bercampur darah tidak akan memudaratkan bayi dan penyusuan boleh diteruskan asalkan anda tidak mengalami sebarang kesakitan. Namun, jika susu tercemar dengan darah sehingga mengubah rasa susu dan bayi menolak untuk meneruskan penyusuan mungkin ada baiknya untuk berhenti. Namun, jika bayi menyusu dengan baik dan tidak muntah, adalah selamat untuk sesuatu penyusuan itu diteruskan.

Menurut pandangan Islam pula, portal The Malaysian Medical Gazette menyatakan bahawa berdasarkan al-Khatib al-Syirbini di dalam kitabnya al-Iqna’ dan Zainuddin al-Malibariy di dalam Fath al-Mu’in di dalam fiqh mazhab Syafii, secara umumnya darah di dalam kuantiti yang banyak adalah dikategorikan sebagai najis.

Namun begitu, terdapat beberapa jenis darah yang dimaafkan serta tidak dikategorikan sebagai najis disebabkan sama ada keadaannya yang amat sedikit (tidak mengalir), ataupun disebabkan kesukaran untuk mengasingkannya kerana ia bercampur baur dengan zat- seperti darah yang terdapat di dalam daging apabila haiwan tersebut disembelih (adalah sukar untuk dibuang darah daripada daging tersebut secara total).

Maka ia termasuk dalam kategori darah (najis) yang dimaafkan (sebagai rukhsah yang tidak haramkan penggunaannya) sebagaimana di dalam kes susu ibu yang bercampur dengan sedikit kandungan darah, yang datang daripada badan ibu.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker