AntarabangsaBudaya

Brazil: Antara Islam Dan Kebudayaan Eksotik

Bercakap tentang Brazil semestinya membawa kita kepada budaya dan kehidupan yang penuh eksotik dan luar biasa.

Apa tidaknya, mereka ada ikan piranha, komuniti orang asli paling terpencil dan hutan tropika paling besar di dunia iaitu Amazon.

Namun tahukah anda, Brazil juga menempatkan komuniti Islam yang ramai, dan mereka ini semestinya sangat seronok dapat berasimilasi dalam kebudayaan Brazil yang sangat berwarna-warni.

Bandar Rio De Janeiro di Brazil yang sangat cantik, dipenuhi cahaya lampu menerangi alam serba hijau dan segar

ISLAM DI BRAZIL

Menurut Persekutuan Islam Brazil, terdapat kira-kira 1.5 juta orang Islam yang tinggal di Brazil. Sebahagian besar daripada mereka adalah berketurunan Lubnan, Syria, Mesir dan Palestin, tetapi ada juga kewarganegaraan lain yang terlibat.

Selain itu, jumlah itu turut disumbang melalui penganut Islam dari kalangan warga peribumi di Brazil itu sendiri.

Di seluruh negara tropika itu, terdapat lebih daripada seratus buah masjid dan pusat Islam, samada dibina oleh kerajaan mahupun persendirian.

Kemesraan dan sikap toleransi terhadap komuniti Islam ini akhirnya menyumbang kepada peningkatan bilangan mereka di sana dari hari ke hari.

Komuniti Islam Brazil sewaktu menunaikan solat tarawikh
Antara masjid yang cantik yang terdapat di Brazil

KEGIATAN MUSLIM BRAZIL

Sebahagian besar orang Islam di Brazil hidup dengan menjalankan perniagaan. Ini dibuktikan melalui keadaan di  25 de macro yang merupakan lorong perniagaan besar di bandar Sao Paolo.

Mirip Petaling Street di Kuala Lumpur, jalan ini diasaskan oleh pendatang dari tanah Arab. Di kawasan ini, ramai komuniti Islam menjalankan berbagai jenis perniagaan yang menguntungkan.

Kedai-kedai perniagaan di sini masih mengekalkan bentuk yang klasik dengan sedikit sentuhan purba, kerana ia diwarisi turun temurun.

Kebanyakannya menjual makanan dan produk runcit dari Asia Barat, dan menjadikan lorong ini penuh dengan bauan harum nasi pilaf Arab serta rempah ratus yang semerbak.

Peniaga Muslim menjalankan perniagaan makanan Arab di Sao Paolo, Brazil

BAGAIMANA PENERIMAAN WARGA BRAZIL TERHADAP ISLAM?

Secara umumnya, warga Brazil yang majoritinya Kristian sangat toleran terhadap orang Islam, bahkan menurut banyak sumber, mereka dilihat lebih bertolak ansur daripada Amerika Syarikat atau negara-negara Eropah apabila melibatkan hubungan dan penerimaan terhadap komuniti Islam.

Antara faktor mewujudkan keharmonian sebegini dapat dikesan melalui kepelbagaian budaya di Brazil, di mana dianggarkan bahawa sekitar 15 juta orang Brazil mempunyai sejarah pertembungan budaya dengan Islam.

Keadaan ini telah membentuk satu kelompok masyarakat yang hidup bersama dengan harmoni.

Kumpulan sukarelawan Islam menjalankan kempen kesedaran mengenai Islam kepada warga Brazil

MAKANAN HALAL DI BRAZIL

Walaupun Brazil adalah pengeluar daging halal yang besar, namun sebenarnya sebahagian besar dari pengeluaran itu adalah bagi tujuan eksport.

Itu mengakibatkan agak sukar untuk mendapatkan produk daging yang halal.

Jadi untuk mendapatkan bekalan daging halal yang konsisten, orang Islam di Brazil biasanya akan ke bandar-bandar besar seperti Rio De Janeiro dan Sao Paolo, kerana di sana terdapat ramai pengusaha produk halal yang berniaga.

Namun hal itu tidak merisaukan, kerana Brazil sememangnya kaya dengan hasil alam yang semestinya halal.

Mereka ada buah-buahan yang unik, mereka ada ikan-ikan sungai yang segar dan besar, dan itu memudahkan orang Islam mendapatkan bekalan makanan.

Ikan yang segar bugar dijual di pasar basah Sao Paolo, Brazil
Kepelbagaian buah-buahan yang dijual di pasar-pasar sekitar Sao Paolo, Brazil sangat berwarna-warni memukau pandangan
Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker