Isu SemasaTempatan

Susah Dapat Kerja? Majikan Pun Sukar Dapatkan Pekerja!

Sering kita dengar keluhan belia susah nak dapat kerja setelah tamat pengajian. Tetapi pernah tak dengar keluhan dari majikan tentang sukarnya untuk mendapat calon yang benar-benar ingin bekerja?

Pelik tapi benar. Terdapat para graduan yang diberikan ruang dan peluang untuk bekerja tetapi mereka tidak datang pada hari pertama untuk melapor diri tanpa sebab serta tidak menghubungi pihak majikan untuk memberitahu mereka tidak mahu pekerjaan tersebut sedangkan sudah bersetuju untuk menerimanya.

Situasi seperti ini turut terjadi kepada syarikat yang mengambil bahagian dalam skim latihan SL1M. Pihak sekretariat SL1M turut berkongsi lima perkara yang tidak menyenangkan selama program tersebut dijalankan untuk menjadi panduan bagi pemohon yang akan datang tidak melakukannya.

  1. Pemohon tidak pandai ‘memasarkan’ diri mereka kepada bakal majikan mereka dan kurang pengetahuan dalam sesuatu bidang yang dipohon.
  2. Resume/CV yang terlalu panjang dengan perkara yang tidak perlu diletakkan
  3. Terdapat calon yang mempersoalkan kenapa perlu hadir ke sesi temuramah sedangkan sudah menghantar resume.
  4. Kebanyakan calon mahukan pekerjaan yang mudah seperti pekerjaan admin tetapi pada masa yang sama mahukan gaji yang tinggi (sehingga RM5000 untuk gaji pertama)
  5. Tidak mahu keluar dari zon selesa iaitu berhijrah keluar dari kampung kerana takut dan tidak mahu berdikari disebabkan perlu membayar sewa rumah/bilik serta masak untuk diri sendiri walaupun ditawarkan gaji yang selesa.

Jika anda menggeleng kepala dengan lima keluhan majikan seperti tidak percaya perkara ini terjadi, tetapi percayalah, ianya berlaku.

Norashikin Ismail, ketua sekretariat SL1M menasihatkan para graduan untuk tidak terlalu memilih dan merungut dengan peluang yang ditawarkan.

Malah, sebenarnya tidak semua orang perlu ke universiti untuk menjadi seorang yang berjaya. Mempunyai kemahiran yang betul dan tingkah laku yang baik adalah perkara yang penting. Oleh yang demikian, pemikiran calon yang mahu bekerja serta masyarakat itu perlu ditukar.

“Tiada shortcut  (jalan mudah) untuk berjaya. Anda perlu melalui jalan yang berliku-liku dan keluar dari zon selasa serta sentiasa menggapai peluang yang ada,” nasihat Norashikin.

Norashikin turut menambah informasi bagi pemohon SL1M Sabah yang tinggal di pedalaman, jika calon tersebut sudah mendapat pekerjaan melalui SL1M, dan perlu meninggalkan rumah untuk ke Semenanjung, mereka boleh membuat tuntutan perbelanjaan tiket penerbangan tersebut daripada majikan ataupun SL1M dengan syarat, mereka perlu mendapatkan pengesahan bahawa mereka tidak mampu untuk membiayai kos pengangkutan tersebut.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker