AntarabangsaIsu Semasa

NASA Mahu Mencari Planet Lain Seperti Bumi

Baru-baru ini, Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) telah melancarkan kapal angkasanya bersaiz mesin basuh yang dikenali sebagai Satelit Peninjau Transit Exoplanet (TESS) untuk mencari planet-planet baru yang mungkin boleh menampung hidupan seperti bumi.

Kapal angkasa bernilai AS$337 juta (RM 1.31 bilion) itu dilancarkan pada Rabu petang waktu tempatan dengan roket Falcon 9 SpaceX dari Cape Canaveral, Florida.

Memetik laporan Sky News, TESS akan beroperasi di angkasa selama dua tahun untuk mengimbas 85% ruang langit dan ratusan ribu bintang untuk mencari kewujudan planet yang mengelilinginya.

NASA berharap TESS akan menemui kira-kira 20,000 exoplanet (planet di luar sistem suria), dan 50 daripadanya dijangka mempunyai saiz sama seperti bumi.

Kapal angkasa itu akan exoplanet yang mempunyai ciri-ciri seperti bumi supaya para saintis boleh membuat kajian lebih lanjut ke atasnya.

Mereka dilaporkan berminat dengan exoplanet yang bergelar “Goldilocks”, di mana suhunya bersesuaian dengan air dan juga manusia.

Selepas TESS menemui planet-planet tersebut, teleskop yang kuat akan digunakan untuk mengkajinya dengan lebih mendalam, dengan mencari tanda-tanda kehidupan seperti oksigen, karbon dioksida, dan juga wap air.

 “Ia akan mengorbit bintang paling terang terhampir. Kita mungkin menemui planet yang mengorbit bintang dan boleh dilihat dengan mata kasar.

“Jadi untuk beberapa tahun akan datang, kita mungkin boleh berjalan dan menuding ke arah bintang yang memiliki planet. Ini adalah masa depan,” kata saintis TESS di Pusat Penerbangan Angkasa Lepas Goddard, NASA, Elisa Quintana..

TESS telah direka susulan mis kapal angkasa Kepler yang dilancarkan pada tahun 2008. Kini, kapal angkasa yang sudah berusia itu kehabisan bahan api dan bakal tamat beroperasi

Kepler menemui kumpulan besar exoplanet dengan memfokuskan satu bahagian langit yang mengandungi kira-kira 150,000 bintang seperti matahari.

Misi Kepler menemui 2,300 exoplanet disahkan dan ribuan lagi calon planet namun kebanyakannya terlalu jauh dan malap untuk dikaji dengan lanjut.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker