AntarabangsaIsu Semasa

Kim Jong-un Mahu Membersihkan Imejnya

27 April 2018 akan menjadi tarikh yang bersejarah buat Korea Selatan dan Korea Utara memandangkan kedua-dua negara itu akan mengadakan persidangan kemuncak rasmi untuk membincangkan pelbagai isu, termasuk menghentikan program nuklear Pyongyang.

Persidangan berkenaan menandakan pertemuan ketiga dalam sejarah di antara pemimpin Seoul dan Pyongyang.

Selain dariapda isu denuklearisasi, pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un dan presiden Korea Selatan, Moon Jae-in akan membincangkan perjanjian damai yang akan menamatkan Perang Korea yang tercetus pada tahun 1950-53 secara rasmi.

Secara teknikalnya, peperangan masih lagi berlangsung kerana Perang Korea hanya berakhir dengan penguatkuasaan gencatan senjata tanpa sebarang perjanjian damai rasmi.

Dalam sebuah rundingan yang berlaku pada Rabu, pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un turut bersetuju untuk menyiarkan persidangan itu secara langsung di televisyen Korea Selatan.

Persetujuan Kim mengenai perkara itu merupakan petanda beliau mahu membersihkan imejnya dan menunjukkan kepada dunia bahawa beliau sebenarnya adalah pemimpin negara yang “normal”.

Menurut pejabat presiden Seoul, kedua-dua pihak turut bersetuju mengenai perkara-perkara lain termasuk protokol, keselamatan, dan juga liputan media.

Memetik laporan The Korea Herald, persidangan ini akan membuka jalan kepada mesyuarat rasi di antara Kim dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang dijangka berlangsung pada bulan Mei atau awal Jun ini.

“Kami telah bersetuju untuk menyiarkan acara-acara penting dalam Persidangan Korea Selatan-Utara menerusi siaran langsung, bermula daripada berjabat tangan kedua-dua pemimpin.

“Saya rasa Kim Jong Un mahu menggunakan persidangan ini untuk memperbaiki imejnya, daripada seorang pemimpin kejam kepada seorang pemimpin sebuah negara normal dan menampilkan dirinya sebagai salah seorang pemimpin dunia,” kata Kwun Hyuk Ki, seorang anggota delegasi Korea Selatan.

Walau bagaimanapun, masih belum ada kepastian sama ada persidangan bersejarah itu akan disiarkan secara langsung di Pyongyang atau tidak.

Namun Kwun berkata, terdapat kemungkinan rejim itu akan menyiarkannya sehingga kedua-dua pemimpin memulakan ucapan pembukaan.

“Korea Utara juga mungkin akan sunting sesetengah bahagian yang mereka tidak mahu orang ramai tonton dan kemudian akan membuat siaran ulangan,” ujar beliau.

Selain itu, antara petanda lain yang akan meningkatkan imej Kim adalah jika beliau membawa isterinya bersama ke persidangan tersebut.

Tetapi, perkara itu juga masih belum ada sebarang kepastian. “Ia merupakan satu perkara yang kami belum boleh maklumkan lagi,” ujar seorang pegawai Rumah Biru (pejabat presiden Korea Selatan) yang enggan namanya dikenali.

Sebelum ini, Kim pernah membawa isterinya ketika mengadakan lawatan ke China pada bulan lepas, dan pasangan itu disambut baik oleh Presiden Xi Jinping dan isteri, Peng Liyuan.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker