Hiburan

Beyoncé Gegarkan Festival Muzik Coachella 2018

Hujung minggu lalu, Beyonce telah menggegarkan festival muzik Coachella dalam satu persembahan yang dianggap mencipta sejarah sehingga netizen menggelarnya ‘Beychella’.

Queen Bey, 36, menjadi wanita Afrika Amerika pertama yang mengetuai festival muzik musim panas California itu. Beliau telah melakukan satu persembahan memukau bersama-sama penyertaan Destiny’s Child dan penampilan istimewa suaminya, Jay Z dan adiknya, Solange Knowles.

“Terima kasih kerana membenarkan saya menjadi wanita hitam pertama untuk memimpin Coachella,” kata Beyonce kepada penonton yang membanjiri festival muzik itu.

Setahun selepas menangguhkan penampilannya untuk Coachella 2017 kerana hamil, Beyoncé kembali beraksi di pentas itu seperti sebuah “reunion” keluarga dengan menyatukan peminatnya, Beyhive yang begitu bersemangat memberikan sorakan untuknya.

Untuk memulakan persembahan selama dua jam itu, Queen Bey mengekspresikan semangat wanita kulit hitam, Ratu Mesir Nefertiti, dalam busananya yang dilengkapi mahkota dan mantel emas Balmain.

Ketika sekumpulan penari dan sebuah band pancaragam menarik perhatian para penonton, Beyonce menukar persalinan yang lebih ranggi dengan ‘sweater’ kuning bersama seluar pendek denim. Bey mempersembahkan lagu-lagu hits dua dekadnya sambil melakukan pelbagai gimik dan tarian yang cukup bertenaga.

Selepas lebih sejam menyanyi berseorangan, Bey memulakan jam kedua persembahannya dengan membawa suaminya, rapper Jay-Z ke atas pentas sebagai gimik pratonton untuk konsert jelajah musim panas “On The Run II” mereka yang akan datang.

Beyonce kemudiannya mengejutkan semua penonton yang hadir apabila mengundang ahli kumpulan yang pernah dianggotainya, Destiny’s Child iaitu Kelly Rowland dan Michelle Williams ke atas pentas untuk mempersembahkan lagu hits mereka seperti “Lose My Breath”. Kemunculan adik Beyonce, Solange ketika diva itu menyanyikan lagu “Get Me Bodied” turut menghangatkan suasana.

Sebagai wanita Afrika Amerika pertama yang mengetuai 19 tahun sejarah penganjuran festival Coachella, Bey juga mengambil peluang untuk memberi penghormatan kepada pemimpin kulit hitam dalam persembahannya. Klip muzik dan ucapan dari Nina Simone, Maya Angelou dan Malcolm X ditayangkan kepada penonton ketika babak pertukaran.

Dengan persembahan hebat selepas melahirkan bayi kembar pada Jun tahun lalu, Beyoncé bukan sahaja menaikkan standard untuk dirinya tetapi juga untuk setiap artis lain yang akan terlibat dalam festival muzik tahun ini. – NPR   

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker