Isu SemasaTempatan

Anda Perlu Menyemak Semula “Dokumentari” Yang Ditayangkan

Kehangatan tentang berita palsu memang sedang berlegar di setiap portal media. Tetapi sebuah penulisan dalam akhbar tempatan telah menarik perhatian apabila dia berkata dokumentari sekarang juga telah ditokok tambah.

“Dokumentari” What The Health yang telah dikategorikan di bawah dokumentari telah memberi penulis tersebut seribu keraguan kerana ia seperti sebuah infotainment (hiburan berinformasi) dan bukannya dokumentari dengan kajian yang mendalam. 

What The Health adalah sebuah “dokumentari” tentang makanan dan kesihatan yang telah mengubah pola pemakanan ramai orang untuk menjadi pemakan sayur (vegan) setelah menontonnya.

Penulis itu juga telah merujuk dokumentari tersebut sebagai filem seram dengan statistik yang dasyat seperti – jika anda minum susu, risiko anda boleh mendapat kanser prostat ialah sebanyak 34% dan untuk setiap 50g daging proses yang anda makan setiap hari, risiko anda untuk mendapat kanser usus ialah sebanyak 18%.

Cuba anda bayangkan dengan hanya makan 2 roti sandwhich berisi daging proses seperti kepingan ayam atau daging, risiko untuk anda dapat kanser usus adalah sebanyak 50%. Di manakah letaknya logik akal statistik tersebut?

Menurut sebuah portal, untuk setiap 50g daging proses yang anda makan setiap hari, risiko anda untuk mendapat kanser usus ialah sebanyak 18% juga dinyatakan dalam Kajian Kanser Agensi Antarabangsa (IARC).

Namun, ramai yang keliru kerana nilai itu sebenarnya nilai risiko secara relatif dan ianya dibandingkan dengan orang yang tidak memakan daging proses.

Peningkatan 18% itu bererti risiko untuk menghidap kanser usus adalah 1.18 kali lebih tinggi bagi mereka yang memakan 50 gram daging proses setiap hari berbanding mereka yang tidak makan. Angka 1.18 dikenali sebagai ‘risiko relatif’.

Oleh yang demikian, risiko untuk anda mendapat kanser setelah memakan 50g daging proses setiap hari sebenarnya bukanlah sebanyak 18% tetapi menurut kajian berdasarkan populasi di Australia, risiko setiap manusia untuk mendapat kanser usus ialah sebanyak 8.2% dan jika anda memakan 50 gram daging proses, risikonya iah 9.38%.

Orang ramai seharusnya diberitahu perkara sebenar seperti di dalam dokumentari yang dilakukan pada zaman dahulu. Infotainment yang menjadi trend zaman ini hanya akan mengelirukan orang dan menyebabkan keadaan cemas sememangnya tidak diperlukan.

Dengan itu, setiap kali anda meragukan sesuatu fakta, ada baiknya anda menyemak terlebih dahulu sebelum risau tentang perkara yang tidak benar.

Jadilah belia yang bijak. Jangan sebarkan perkara yang diputarbelit. Dalami sesuatu dahulu sebelum berkongsi dan membuat keputusan.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button