Tempatan

Kampung Baru Bakal Ditenggelami Pencakar Langit

Kampung Baru ditubuhkan oleh penjajah British pada tahun 1900 sebagai kawasan tanah pertanian untuk etnik Melayu.

Dalam tempoh satu abad, bandar Kuala Lumpur telah membangun di sekitarnya. Termasuklah Menara Berkembar Petronas yang terletak di tengah-tengah bandar, bangunan-bangunan pejabat, hotel dan juga pusat membeli-belah.

Ramai penduduk setempat menghargai suasana Kampung Baru yang penuh dengan tradisi dan lokasinya yang terletak tidak jauh dari kawasan kewangan.

Visi kerajaan

Walau bagaimanapun, kerajaan mempunyai visi untuk menukarkan kawasan ini kepada kawasan perumahan berstrata.

“Jika anda mahu tinggal di tengah-tengah bandar…anda perlu berpindah ke atas,” kata Affendi Zahari, yang mengetuai Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB).

“Itulah satu-satunya cara untuk tinggal di bandar sekarang – ia perlu dijadikan kawasan perumahan berstrata.”

Menurut Reuters, PKB telah ditubuhkan oleh kerajaan pada 2012 bagi menggalakkan pembangunan hartanah kawasan Kampung Baru.

Tambah Affendi, kawasan itu mempunyai tiga kali ganda tanah yang boleh dibangunkan berbanding di tengah-tengah bandar.

Beliau menganggarkan nilai pembangunan Kampung Baru mencecah RM60 bilion.

Pada tahun 2010, kawasan tersebut menempatkan lebih 18,000 orang. Angka tersebut dijangka meningkat kepada 77,000 menjelang 2035 dengan adanya bangunan 50 tingkat.

Walaupun kami ingin memelihara budaya untuk generasi akan datang, kami juga mahu melihat orang ramai hidup dalam persekitaran yang lebih moden, kata Affendi.

Mengikut perancangan mereka, 11 rumah akan kekal sebagai nilai warisan.

Beberapa cabaran

Affendi mengakui bahawa isu hak milik tanah menyukarkan pembangunan kawasan itu. Tetapi beliau percaya bahawa kebanyakan pemilik yang telah berpindah keluar ingin menjual tanah mereka dan memerlukan pertolongan menyelesaikan isu hak milik tanah mereka.

Antara halangan lain adalah menggabungkan beberapa kawasan perumahan yang cukup besar bagi menarik minat pemaju hartanah.

Oleh itu, perbadanan pembangunan itu telah mengadakan klinik di mana pemilik hartanah dapat menyelesaikan isu hak milik tanah. Setakat ini 17 kes telah dikendalikan, kata seorang jurucakap.

Buat masa ini lot tanah kosong masih kecil untuk melancarkan apa-apa projek pembangunan, kata Affendi. Tambahnya lagi, kami mahu membantu Kampung Baru dan mengembangkan potensi kawasan itu.

Show More

Artikel Berkaitan.

Baca Juga

Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker