AntarabangsaIsu Semasa

Di Mana Sebenarnya Jenazah Saddam Hussein Disemadikan?

Pada waktu Subuh 30 Disember 2006, bekas Presiden Iraq, Saddam Hussein telah dijatuhkan hukuman gantung sampai mati kerana didapati bersalah atas tuduhan melakukan jenayah terhadap kemanusiaan di negara itu.

Memetik laporan AFP, Presiden Amerika Syarikat (AS) yang memerintah pada waktu itu, George W. Bush, membenarkan mayatnya untuk dibawa dari Baghdad ke bandar Tikrit, yang terletak berdekatan Al-Awja.

Al-Awja merupakan kampung kelahiran bekas diktator itu, namun tiada sebarang petanda jenazahnya berada di sana.

Oleh itu, persoalan ini masih menjadi misteri sehingga ke hari ini, di manakah sebenarnya jenazah Saddam?

Terdapat juga khabar angin yang mengatakan bahawa makamnya telah digali dan jasadnya dipindahkan ke tempat lain bagi mengelak daripada menjadi sasaran semasa kebangkitan militan Daesh pada sekitar tahun 2014.

Walau bagaimanapun, ketua puak Albu Nasser yang juga merupakan suku Saddam, Sheikh Manaf Ali Al-Nida berpegang teguh pada sepucuk surat yang ditandatangani oleh keluarganya, bagi menyegerakan pengebumian Saddam.

Sheikh Manaf berkata, jenazah telah disemadikan di makam berkenaan yang dipilih sendiri oleh Saddam beberapa tahun sebelum beliau dihukum mati.

Dalam pada itu, ramai penyokong bekas pemimpin Iraq itu, termasuk golongan kanak-kanak sekolah telah mengunjungi makamnya, khususnya pada 28 April yang merupakan hari kelahiran beliau.

Kini, pelawat dikatakan perlu mendapatkan kebenaran khas untuk melawat makam Saddam.

Sheikh Manaf pula terpaksa meninggalkan kampung Al-Awja dan mencari perlindungan di wilayah Kurdistan.

Menurutnya, puak Albu Nasser turut mengalami penindasan sejak pendudukan AS di Iraq pada tahun 2003, hanya kerana mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Saddam.

“Adakah ia adil bagi kami untuk menanggung (penindasan) ini dari generasi ke generasi hanya kerana kami berasal daripada keluarga yang sama?” soal beliau.

 

MAKAM SADDAM DIMUSNAHKAN?

Kumpulan separa tentera Syiah, Hashed Al-Shaabi merupakan pihak yang dipertanggungjawabkan untuk mengawal keselamatan di tapak perkuburan Saddam.

Namun, mereka menyatakan bahawa makam itu telah musnah akibat serangan udara yang dilancarkan oleh tentera Iraq untuk menyerang militan Daesh.

Semasa serangan udara berlaku, Sheikh Manaf tiada di tempat kejadian, namun beliau yakin bahawa makam itu telah “digali dan diletupkan,” tanpa memindahkan mayatnya terlebih dahulu seperti yang didakwa oleh khabar angin yang tersebar luas.

Jaafar al-Gharawi, ketua keselamatan kumpulan Hashed turut menegaskan bahawa mayatnya masih kekal di makam itu.

Tetapi, salah seorang pejuangnya mendakwa bahawa Hala, anak perempuan Saddam yang hidup dalam buangan, telah menggunakan sebuah pesawat peribadi untuk memindahkan jenazah bapanya ke Jordan.

Walau bagaimanapun, seorang profesor universiti yang enggan identitinya didedahkan berkata, perkara itu adalah mustahil.

“Hala tidak pernah kembali semula ke Iraq. (Mayat Saddam) mungkin telah dibawa ke satu lokasi rahsia….tiada sesiapa pun tahu siapa yang memindahkannya atau di mana,” ujar profesor berkenaan.

Selain itu, terdapat juga segelintir pihak, termasuk seorang penduduk Baghdad bernama Abu Samer, yang mempercayai bahawa Saddam masih hidup.

“Saddam belum mati. Individu miripnya yang telah digantung mati,” katanya.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker