Gaya HidupMakan & Minum

Daging Wagyu Halal Jepun Kini di Malaysia

Tahun lepas, Malaysia meluluskan import daging lembu wagyu dari Jepun selepas dua buah kilang pemprosesan di sana meluluskan audit Jabatan Pembangunan Islam (Jakim) untuk pematuhan halal.

Ini bermakna daging halal wagyu dari Jepun kini boleh didapati secara komersial di Malaysia. Tidak lama lagi, kita akan melihat daging premium ini disajikan di lebih banyak restoran dan dijual di pasaraya terpilih.

Secara harfiah, perkataan wagyu adalah gabungan dua perkataan (wa dan gyu) yang bermaksud “daging lembu Jepun”.

Setakat ini, 97% lembu yang menghasilkan daging wagyu di seluruh dunia dibiakkan di Jepun di mana 65% daripada itu adalah dari lembu hitam Jepun. Jepun adalah peternak terbesar dan pengeluar “lembu wagyu asli”. Terdapat juga wagyu campuran dengan lebih daripada 93% garis keturunan wagyu, dan beberapa jenis baka campuran lain.

Proses menghasilkan daging lembu wagyu dikawal ketat untuk menjamin kualitinya. Secara umumnya, anak lembu hidup di ladang pembiakan sehinggalah mereka berumur lapan bulan, atau mencapai berat tertentu (antara 260kg dan 290kg), kemudian dijual ke ladang penggemukan.

Di ladang penggemukan, lembu-lembu wagyu diberi makanan “nutrifood” iaitu gabungan jagung, soya, gandum dan jerami padi yang berkualiti tinggi.

Bertentangan dengan kepercayaan popular, lembu wagyu tidak diberi makan bir pada musim panas untuk merangsang pertumbuhan. Penternak terdahulu mungkin menggunakan bir atau ‘sake’ dalam makanan lembu tetapi proses pembiakan telah berubah dan bertambah baik.

Wagyu kaya dengan asid lemak Omega-3 dan mengandungi lemak tidak tepu atau jenis lemak yang baik. Oleh itu, wagyu mempunyai titik lebur yang lebih rendah (26˚C hingga 30˚C) berbanding jenis daging lain.

Sudah tentu, daging wagyu semestinya lebih lembut dan juga lebih ‘flavourful’. Aroma daging wagyu juga berbeza dengan daging lain di mana baunya akan menambah selera.

Menurut Star2, oleh kerana keistimewaannya, daging wagyu Jepun yang diimport ke Malaysia boleh mencecah harga RM2,000 sekilogram.

Walau bagaimanapun, untuk memastikan bahawa daging yang anda beli adalah wagyu Jepun asli dan halal, anda mesti mencari logo rasmi yang mempunyai bendera Jepun, dengan perkataan “Beef JAPAN” yang ditulis merentasi pakej.

Walaupun wagyu berasal dari Jepun, beberapa negara juga telah menjadi pengeluar rasmi daging lembu itu, iaitu Australia dan Amerika Syarikat. Sebab itulah daging wagyu Jepun mempunyai logo sendiri untuk memastikan keaslian kepada pengguna antarabangsa.

“Kalau tidak ada logo, maka daging itu bukan dari Jepun,” kata Tsuyoshi Hishinuma, pengarah Jawatankuasa Promosi Eksport Jepun Wagyu.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker