AntarabangsaIsu Semasa

China Tingkatkan Usaha Menangani Pengintip Asing

Baru-baru ini, kerajaan China telah melancarkan sebuah laman sesawang yang direka khusus untuk membanteras kegiatan pengintipan asing atau “foreign espionage”.

Laman tersebut, www.12339.gov.cn, dilancarkan oleh Kementerian Keselamatan Negara pada Ahad, 15 April 2018.

Disediakan dalam Bahasa Inggeris dan Mandarin, kerajaan menggalakkan orang awam untuk membuat laporan jika mendapati mana-mana individu warga tempatan atau asing yang disyaki mahu mengancam keselamatan negara dan “menggulingkan sistem sosialisme” yang diamalkan di China.

Antara kesalahan yang mampu menggugat kestabilan negara adalah merasuah kakitangan kerajaan dan tentera, hasutan yang membawa kepada rusuhan, atau mencetuskan pemisahan etnik.

Laman sesawang www.12339.gov.cn – Sumber: www.scmp.com

Menurut laman sesawang berkenaan, pemberi maklumat yang berjaya mengenal pasti/menemui peralatan pengintipan, atau individu-individu yang “membeli dan menjual” rahsia negara, akan diberikan ganjaran oleh kerajaan.

Walau bagaimanapun, ia tidak menyatakan secara terperinci mengenai ganjaran apa yang akan dianugerahkan kepada pemberi maklumat.

Tetapi berdasarkan laporan Beijing Daily sebelum ini, Biro Keselamatan Kebangsaan Beijing menawarkan wang tunai 10,000 hingga 500,000 yuan (RM 6191 – RM 309,587) kepada sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai pengintip.

Memetik laporan AFP, pihak Kementerian turut menerbitkan sebuah kartun bertajuk “a friend with a mask”, bagi menggambarkan keadaan dan tingkah laku individu yang mencurigakan, sebahagian daripada kempen sempena Hari Pendidikan Keselamatan Negara China pada 15 April.

Kartun tersebut menunjukkan seorang individu warga asing daripada sebuah badan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa, yang mempromosikan hak asasi pekerja “gaya barat” di China.

Warga asing itu didakwa “merasuah” seorang kakitangan kerajaan untuk menganjurkan seminar bagi menghasut pekerja untuk mengadakan protes kononnya untuk memperjuangkan hak mereka.

Berdasarkan kartun itu, demonstrasi awam seperti yang digambarkan adalah salah di sisi undang-undang negara, dan pekerja yang bertanggungjawab kemudian membuat laporan ke atas warga asing yang menjadi dalang di sebalik hasutan itu.

Pada tahun 2016 pula, sebuah lagi siri kartun yang diterbitkan oleh kementerian memberi amaran kepada rakyat tempatan supaya berhati-hati sekiranya menjalinkan hubungan cinta bersama warga asing, ia berpotensi untuk mendedahkan rahsia negara.

Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker