AntarabangsaIsu Semasa

Adakah Malaysia Terkesan Dengan Perang Dagang AS Dan China?

Hubungan Amerika Syarikat (AS) dan China dilihat menjadi semakin tegang susulan perang dagang yang dicetuskan oleh Presiden Donald Trump.

Menyifatkan kelebihan perdagangan China sebagai “tidak adil”, Trump mencetuskan ‘perang’ itu dengan mengumumkan peningkatan 25% tarif ke atas import China yang bernilai AS$ 50 bilion (RM 194 bilion).

Bagi membalas tindakan Trump, China turut mengumumkan tarif yang tinggi ke atas import Amerika bernilai AS$ 3 bilion, namun kemudian meningkatkannya kepada AS$ 50 bilion.

Kemudian, Trump mempertimbangkan untuk mengenakan tarif tambahan sebanyak AS$ 1 bilion(RM 389 bilion) ke atas barangan import China.

Berikutan pertelingkahan dua kuasa ekonomi terbesar di dunia ini, adakah Malaysia akan terkesan?

Secara umumnya, pakar ekonomi dan kewangan bersetuju bahawa perang dagang AS-China akan memberi impak terhadap Malaysia.

Dalam sebuah temubual bersama StarBizWeek, Lau Zheng Zhou, pengarah penyelidikan dan pembangunan perniagaan Asian Strategy and Leadership Institute, menyatakan bahawa Malaysia akan mengalami kerugian dari segi peluang perdagangan, memandangkan AS dan China menyumbang 25% dalam perdagangan keseluruhan negara kita.

Beliau berkata, para pelabur mungkin akan mengambil pendekatan “tunggu dan lihat”, dan ini boleh menyebabkan sektor-sektor tertentu untuk tergendala sekali gus menganggu perancangan pihak pengeluar.

“Berbeza dengan mengeksport barangan siap, eksport Malaysia boleh dilihat di sepanjang rangkaian pembekal di seluruh Asia seperti automobil, minyak dan gas, serta mesin.

“Dengan tarif berat yang dikenakan oleh AS, syarikat-syarikat Malaysia akan terkesan dengan peningkatan kos input sekali gus menyebabkan kejatuhan permintaan bagi produk-produk komponen nilai tambah mereka,” katanya.

Tambah Lau, sektor logistik juga akan terjejas sekiranya perdagangan antarabangsa bergerak dengan perlahan.

Walau bagaimanapun, tarif yang dikenakan ke atas AS oleh China mungkin tidak akan memberi kesan langsung kepada Malaysia memandangkan ia direka khas untuk menjejaskan pengeluar agrikultur AS.

Sementara it, ketua kumpulan ekonomi Malayan Banking Bhd (Maybank), Suhaimi Ilias menjelaskan bahawa setakat ini, potensi impak daripada perang dagang AS-China adalah kecil, atau hanya 0.3% daripada jumlah nilai dagangan keseluruhan.

Namun, risiko yang lebih besar boleh muncul sekiranya tarif tambahan dikenakan ke atas perkhidmatan perdagangan dan pelaburan.

“Dalam mana-mana kes, tarif AS ke atas panel solar, besi dan aluminium mungkin akan memberi sedikit kesan kepada Malaysia tetapi kita faham bahawa Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sedang meminta pengecualian untuk (barangan) ini memandangkan Malaysia sedang dalam perundingan bersama AS mengenai Perjanjian Rangka Kerja Perdagangan dan Pelaburan (TIFA) sebagai alternatif susulan penarikan diri AS daripada Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA),” ujarnya.

Tambah Suhaimi, tarif yang dikuatkuasakan oleh China ke atas produk-produk AS boleh menyebabkan peralihan perdagangan yang akan meningkatkan permintaan produk Malaysia dari China.

Salah satu bidang berpotensi adalah produk kimia atau petrokimia yang merupakan industri dan eksport utama untuk Malaysia.

Kini, pentadbiran Trump telah menyenaraikan 1,333 barangan yang mungkin akan dikenakan tarif tambahan sebanyak 25%.

Barangan tersebut termasuk robotik, kerusi pesawat, bahagian peralatan mesin, semikonduktor, satelit komunikasi dan komponen televisyen.

Dalam pada itu, semakan yang berlangsung selama 60 hari akan diadakan sebelum tarif-tarif tersebut dikuatkuasakan.

Pihak pemerhati mempercayai bahawa AS dan China akan mengadakan rundingan semula mengenai terma perdagangan mereka pada waktu ini dalam usaha membendung perang dagang berskala penuh.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker