AntarabangsaPerangPolitik

Uyghur Di China – Ditindas Dari Dalam Atau Dimanipulasi Dari Luar?

Konflik yang melanda etnik Uyghur di barat daya negara China dilihat sebagai berakar umbi dari faktor politik dan geografi dalaman dan luaran, yang melibatkan banyak pihak. Keadaan menjadi lebih buruk apabila wujudnya elemen pengganas dari luar China yang memanipulasi etnik itu, sehingga membawa kepada penguatkuasaan beberapa langkah yang dilihat agresif oleh pihak kerajaan China.

Bagaimana isu rumit ini dapat difahami?

LATAR BELAKANG UYGHUR

Uyghur merupakan etnik minoriti Islam yang mendiami kawasan Xinjiang di barat daya China. Populasi mereka dianggarkan berjumlah sekitar 15 juta orang. Mereka ini bukan penduduk peribumi tanah besar China, sebaliknya mempunyai hubungan leluhur yang kuat dengan Turki dan Iran.

Ini tidak menghairankan memandangkan perletakan geografi mereka yang bersempadan dengan negara-negara yang dahulunya berada di bawah pemerintahan Empayar Uthmaniah.

Oleh kerana perbezaan leluhur, adat resam dan sejarah dengan warga China yang lain, maka etnik ini seringkali bertelagah dengan kerajaan China.

Wilayah Autonomi Xinjiang di barat daya Tanah Besar China yang bertanda merah dalam peta

BAGAIMANA UYGHUR DISERAP KE DALAM CHINA?

Uyghur pada asalnya mendiami wilayah Kerajaan Uthmaniah, sehinggalah pada tahun sekitar abad ke-17, pergerakan politik China di bawah Dinasti Qing melakukan perluasan kuasa sehingga berjaya menakluk kaum Uyghur. Mulai itu, mereka diserap sebagai sebahagian dari kerajaan China dan wilayah mereka iaitu Xinjiang diberikan kuasa autonomi.

KESAN POLISI KERAJAAN CHINA 

Sebilangan pemerhati berpendapat bahawa punca konflik di antara kerajaan China dengan etnik Uyghur diakibatkan oleh dua faktor: –

  1. Ekonomi
  2. Kebudayaan

Oleh kerana mempunyai leluhur yang berbeza dengan orang Cina, maka kerajaan China telah melaksanakan beberapa langkah bagi mengasimilasikan warga Uyghur, termasuk membawa etnik Cina Muslim berketurunan Han ke dalam wilayah Xinjiang.

Etnik Han ini adalah peribumi tanah besar China dan berbangsa Cina. Oleh itu, kehadiran mereka diharap dapat mengasimilasikan warga Uyghur ke dalam adat, kebudayaan dan ketamadunan Cina.

Namun hal sebaliknya pula berlaku, apabila kebanjiran warga Han ke Xinjiang telah mengakibatkan wujudnya masalah. Orang Uyghur terpaksa pula bersaing dengan warga Han dari sudut ekonomi, bahkan mereka menguasai bidang pekerjaan di Xinjiang pula.

PERGOLAKAN DALAMAN UYGHUR MEMANGGIL CAMPURTANGAN KERAJAAN CHINA

Tidak cukup dengan itu, pergolakan sesama masyarakat Uyghur itu sendiri turut menjadi punca konflik. Hal ini telah didedahkan oleh penyelidik di Magdalen College School Model United Nations, yang merupakan sebahagian dari suara di Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Dalam satu pembentangan, mereka menyebut bahawa: –

…Akibat kewujudan sentimen pemisahan yang kuat bagi membebaskan Uyghur dari kerajaan China, hal ini telah membangkitkan gerakan pemisahan yang ekstrem dalam kalangan etnik Uyghur.

Mereka terdiri dari tiga kelompok; kumpulan yang inginkan kuasa total dan kemerdekaan, kumpulan yang inginkan penyertaan Uyghur dalam negara bekas Uthmaniah (pan-Turkic state), dan juga kumpulan yang ingin mewujudkan negara khalifah tersendiri (pan-Islamic).

Kumpulan-kumpulan ini telah mengambil pendekatan pemisahan yang ekstrem, termasuk membunuh dan menindas warga Uyghur yang lemah; seperti kelompok yang terlalu pro-China dan kelompok yang tidak mengamalkan ajaran Islam dengan baik.

Perkara ini telah memanggil campurtangan keras pihak Kerajaan China, dan ianya secara tidak langsung telah memburukkan lagi keadaan…

TINDAKAN KERAS PIHAK KERAJAAN

Akibat pergolakan sesama mereka, di samping perseteruan dengan imigran Han dari tanah besar, maka pihak kerajaan China telah mengambil beberapa pendekatan yang dilihat agresif.

Ini termasuklah menghantar sejumlah besar tentera ke wilayah Xinjiang bagi memantau keadaan, yang seterusnya memburukkan lagi keadaan. Ini dibuktikan melalui kenyataan  Ketua Parti Komunis Wilayah Xinjiang, Zhu Hailun yang menyebut bahawa “melalui kehadiran penguatkuasa dari pihak kerajaan, semua pengganas di Uyghur akan dihapuskan.”

Kenyataan itu kemudian telah diterjemahkan oleh sebilangan warga Uyghur sebagai satu bentuk ancaman ke atas etnik Uyghur yang dikuatkuasakan oleh pihak kerajaan China.

Zhu Hailun, wakil kerajaan China di Wilayah Xinjiang.

KONTROVERSI DI SEBALIK ISU LARANGAN BERPUASA

Sementara itu, timbulnya isu lain yang menuduh kerajaan China – sebagai tindak balas terhadap pergolakan dalaman Uyghur – telah melarang umat Islam Uyghur di Xinjiang dari berpuasa.

Walaupun media-media barat termasuk Turki (yang mempunyai kaitan kaitan leluhur dengan etnik Uyghur) berlumba-lumba menyebarkan berita ini, namun ianya disangkal oleh pihak penyiasat bebas dari Pakistan.

Pada 2016, susulan dakwaan pihak antarabangsa terhadap tindakan kerajaan China menghalang orang Uyghur berpuasa, kerajaan China telah meminta agar siasatan antarabangsa dilakukan oleh pihak ketiga bagi menyangkal dakwaan itu.

Oleh itu pada 26 hingga 28 Jun 2016, sebuah badan siasatan dari Pakistan telah melakukan kajian lapangan di Xinjiang melalui jemputan kerajaan China.

Badan siasatan itu diketuai oleh Ketua Pengarah Jabatan Penyelidikan, Kementerian Hal Ehwal Agama Islam Pakistan iaitu Noorul Islam Shah. Hasil siasatan mendapati bahawa dakwaan terhadap tindakan China menyekat umat Islam Uyghur dari berpuasa merupakan dakwaan dan tuduhan yang tidak berasas. Hasil siasatan mereka yang dikupas dalam The Express Tribune antaranya mendedahkan bahawa: –

“Sepanjang tinjauan, didapati bahawa komuniti Muslim di Xinjiang diberikan kebebasan dalam mengamalkan ajaran Islam (termasuk berpuasa).

Siasatan juga mendedahkan bahawa terdapat sebanyak lebih 24,000 buah masjid di seluruh wilayah Xinjiang, dan merupakan bukti lain bahawa kerajaan tidak menyekat kebebasan agama umat Islam Uyghur.

Selain itu, delegasi tersebut turut memaklumkan bahawa pihak kerajaan China turut membantu beribu warga Uyghur menunaikan haji setiap tahun, dan itu merupakan satu lagi bukti untuk menyangkal dakwaan sesetengah pihak terhadap kerajaan China yang dituduh menghalang kegiatan agama warga Uyghur di Xinjiang.

Muslim Uyghur sewaktu bersolat di Masjid Besar Kashgar di Xinjiang sewaktu bulan Ramadhan. Sumber: AFP
Pendedahan oleh The Express Tribune

 

ISU UYGHUR SEBAGAI MODAL PENGGANAS DAESH

Di samping faktor dalaman, isu Uyghur di Xinjiang turut dihangatkan dengan kehadiran pengganas Asia Barat yang memanipulasi mereka demi kepentingan tertentu, termasuk sebagai langkah menjatuhkan kerajaan China menggunakan topeng “kekhalifahan”

Islamic State (IS atau ISIS) yang kini digelar Daesh misalnya dalam beberapa kempen propaganda telah memanipulasi warga Uyghur sebagai bahan kempen dan penyebaran elemen keganasan. Hal ini didedahkan oleh The Diplomat seperti berikut: –

Pada 27 Februari 2017, sayap media IS iaitu al-Furat telah menyebarkan siaran atas talian berjudul “Children of the Caliphate”…yang memaparkan sekitar 30 orang etnik Uyghur dari China menyertai kumpulan militan itu (IS) dan turut berjuang di medan tempur (Syria).

…Pengganas Uyghur ini telah melakukan ugutan untuk kembali ke China dan “membanjiri negara itu dengan darah”, sebagai balasan ke atas kekejaman kerajaan, di samping berhasrat mengibarkan bendera “khalifah” (di China).

Kesannya, Presiden China iaitu Xi Jinping mengisytiharkan bahawa kerajaan akan memperketatkan kawalan  (great wall of iron) agar wilayah Xinjiang selamat dari ancaman pemisah Islam yang radikal.

 

Etnik Uyghur yang dimanipulasi oleh pengganas Daesh bagi kegiatan ekstremism di Asia Barat terutama Syria

 

Muhammed Amin, warga tua Uyghur berusia 80 tahun, telah menyertai ISIS dalam pertempuran di Syria

UYGHUR MASA KINI

Pada masa kini, situasi di Xinjiang dilihat tidak memihak kepada komuniti Uyghur. Oleh itu sesetengah polisi kerajaan China terhadap wilayah Xinjiang wajar dinilai semula, kerana ada segelintir pihak terutama ekstremis dilihat sentiasa mencari peluang menghasut warga Uyghur dengan menjadikan kepincangan dalam perlaksanaan polisi tersebut sebagai modal menyebarkan fahaman ekstrem.

 

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker