AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Montenegro Lantik Presiden Baru

Montenegro telah mengadakan pilihan raya presiden pada Ahad, 15 April 2018, dan pemilihan kali ini menyaksikan ‘come back’ bekas Perdana Menteri, Milo Djukanovic di dalam arena politik.

Pilihan raya negara itu adalah berlandaskan sistem dua pusingan. Sekiranya tiada calon yang meraih undi majoriti dalam pusingan pertama, pusingan kedua akan diadakan dalam tempoh dua minggu kemudian.

Memetik laporan Radio Free Europe, Djukanovic telah berjaya memenangi undi majoriti, sekali gus dilantik menjadi presiden Montenegro tanpa perlu bertanding di pusingan kedua.

Menurut sebuah pertubuhan bebas, Center for Monitoring and Research (CEMI) pemimpin Pro-Eropah itu menerima 53.9% undian, manakala hanya 33% rakyat yang memilih pesaing utamanya, Mladen Bojanic.

Walau bagaimanapun, seseorang presiden hanya boleh memerintah selama maksimum dua penggal atau 10 tahun (satu penggal adalah bersamaan 5 tahun).

Difahamkan, Djunakovic telah pernah memegang jawatan perdana menteri sebanyak 6 kali dan menjadi presiden bagi satu penggal sebelum ini.

Susulan kemenangannya, ini bermakna bahawa beliau hanya boleh mentadbir negara sebagai presiden untuk tempoh 5 tahun sahaja.

Beliau juga dilantik menjadi perdana menteri buat pertama kali pada usia yang amat sangat muda, ketika berumur 29 tahun.

Bercakap kepada penyokongnya, Djunakovic menyifatkan kemenangannya sebagai “satu acara penting bagi masa depan Montenegro dan Eropah.”

Bojanic pula mengaku kalah dengan rela sambil berkata: “Rakyat Montenegro telah memilih apa yang mereka mahu pilih.”

Tetapi, beliau turut menyatakan bahawa kemenangan Djukanovic adalah hasil daripada “tekanan dan penindasan”.

Tambah Bojanic, musuh ketatnya juga merupakan individu yang perlu bertanggungjawab ke atas huru-hara yang sedang berlaku hasil daripada ketidakstabilan ekonomi dan dasar luar negara yang diperkenalkan.

Puak pembangkang turut menuduh Djunakovic mempunyai kaitan dengan kumpulan mafia, namun beliau menafikan dakwaan itu sekeras-kerasnya.

Oleh itu, Bojanic yang juga Pro-Rusia, berikrar untuk meneruskan perjuangannya bagi membebaskan Montenegro daripada cengkaman ahli politik veteran itu dan keditaktorannya.

Tetapi, kemenangan Djukanovic memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju negara itu, sama ada bergerak ke arah menjadi anggota Kesatuan Eropah atau lebih cenderung ke arah Rusia.

Ujar beliau, hal ini amat mustahak untuk memastikan rancangan pembangunan negara bergerak dengan lancar dan berada di landasan yang betul.

“Saya yakin bahawa Montenegro akan terus memberi sokongan padu terhadap haluan pembangunan Eropah,” katanya.

Semasa berkempen, Djukanovic turut berikrar untuk menggunakan segala kuasanya bagi memastikan rakyat sentiasa dilindungi daripada sebarang ancaman.

“Sebagai presiden, saya akan melakukan apa sahaja dengan kuasa yang saya ada….untuk memberikan polis kuasa yang akan membolehkan mereka melindungi rakyat daripada penjahat,” kata beliau.

Tegasnya lagi, pembangkang juga mahu mengubah negara itu menjadi sebuah “wilayah Rusia” yang mengancam kepelbagaian budaya dalam kehidupan rakyat.

Sementara itu, Montenegro amat berminat untuk menyertai blok EU menjelang tahun 2025 nanti.

Namun, pihak EU, dalam sebuah laporan pada tahun 2016, menyatakan bahawa Montenegro perlu meneruskan usaha mereka dalam mengurangkan kes jenayah terancang, khususnya pemerdagangan manusia, penggubahan wang haram, dan masalah penyeludupan rokok yang berleluasa di negara itu.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker