AntarabangsaIsu Semasa

Komuniti Muslim Hong Kong Hidupkan Semula Projek Masjid Terbengkalai

Susulan peningkatan bilangan penganut agama Islam di Hong Kong, masyarakat Muslim di sana bersama-sama mengumpul dana untuk menyambung semula projek pembinaan masjid yang telah terbengkalai lebih daripada 10 tahun.

Menurut Nadia Castro, bendahari kehormat United Muslim Association of Hong Kong, sumbangan derma diterima secara konsisten setiap hari dan pihaknya sedang berusaha untuk menggerakkan projek itu semula.

Organisasi tersebut menyasarkan untuk mengumpul dana sebanyak HK$ 10 juta (RM 4.9 juta) dalam tahun ini untuk memastikan projek di Sheung Shui itu dihidupkan kerana setakat ini, kawasan tersebut masih belum mempunyai masjid.

“Dengan kedatangan pendatang asing dan bilangan Muslim yang semakin meningkat di Hong Kong, adalah penting untuk mempunyai tempat keramaian bukan sahaja untuk aktiviti keagamaan, tetapi juga untuk kegiatan sosial.

“Kami adalah organisasi yang berlandaskan perkhidmatan. Kami mempunyai sekolah, rumah warga emas…..serta perkhidmatan lain yang melibatkan komuniti Muslim di Hong Kong,” kata Castro.

Tapak pembinaan masjid terbengkalai – Sumber: www.scmp.com

Memetik laporan South China Morning Post, terdapat kira-kira 250,000 sehingga 300,000 penganut Islam di bandar berkenaan.

Ramai yang datang dari negara-negara Asia termasuk Pakistan, India, Malaysia dan Indonesia.

Dalam pada itu, sebahagian besar daripada komuniti Muslim itu adalah dari kalangan pekerja-pekerja domestik Indonesia, manakala jumlah etnik Cina Muslim pula adalah dalam sekitar 40,000 orang.

Difahamkan, Hong Kong kini mempunyai 5 buah masjid kekal dan sebuah masjid sementara, beserta puluhan madrasah dan pusat pengajian Islam di seluruh bandar itu.

Namun, ruang yang terhad menyebabkan ramai orang Islam terpaksa menunaikan tanggungjawab beribadat di tempat-tempat yang telah diubah suai menjadi masjid/surau.

Idea pembinaan projek masjid di Sheung Shui telah bermula sejak tahun 1990-an lagi dan organisasi United Muslim Association telah membeli sebidang tanah bernilai HK$ 9.8 juta (RM 4.8 juta) daripada kerajaan.

Kemudian, projek tersebut dijangka akan siap dibina pada tahun 2011, namun kekurangan dana dan masalah dalaman organisasi itu menyebabkan ia tergendala.

Kerajaan tempatan juga telah mengenakan denda yang tinggi ke atas organisasi berkenaan kerana gagal menyiapkan masjid itu dalam tempoh yang ditetapkan.

Pada tahun 2009, Arab Saudi telah berjanji untuk membiayai pembinaan masjid itu, tetapi dua tahun lalu (2016), mereka menarik semula hasrat itu susulan kejatuhan harga minyak dunia.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker