Isu SemasaTempatan

Usia Bukan Penghalang, Opah Aishah Jadi Mahasiswa

Usianya mungkin sudah menjangkau 70 tahun, tetapi Aishah Hamad membuktikan bahawa tidak ada istilah ‘terlalu tua’ untuk menuntut ilmu.

Merupakan ibu tunggal kepada lapan orang anak dari Bandariang, Gerik, Aishah kini sedang mengikuti kursus pengajian pelabelan di Kolej Komuniti Lenggong, Perak.

Mesti ramai yang tertanya-tanya mengapa wanita dalam usia 70 tahun masih lagi belajar? Aishah sebenarnya ingin mengetahui cara membuat logo untuk produk ikan pekasam yang telah menjadi perniagaan utamanya sejak lima tahun yang lalu.

Aishah atau lebih mesra dengan panggilan Opah berkata dia telah lama menyimpan impian untuk memiliki logo sendiri pada produknya dan bertekad untuk mewujudkannya.

“Anak-anak saya telah membawa produk saya ke merata tempat untuk dipasarkan. Saya percaya sudah tiba masanya untuk saya melancarkan logo saya sendiri dan memperkenalkan produk saya sendiri melalui saluran yang betul,” katanya.

Setelah mengetahui bahawa Kolej Komuniti Lenggong menawarkan kursus pengajian pelabelan, wanita itu mengambil inisiatif untuk mendaftar sebagai pelajar.

Aishah mengakui bahawa segalanya amat rumit pada awalnya kerana dia tidak pernah menggunakan komputer sebelum ini.

“Walaupun masih agak sukar, saya teruja dan sekarang saya tidak boleh berhenti meneroka,” kata Aishah dalam kursus lima jam itu.

Opah Aishah tidak kekok mempelajari komputer di usia 70

Orang ramai sering mengaitkan inovasi dengan golongan belia. Tetapi kreativiti bukanlah untuk golongan muda semata-mata dan tidak ada sebab mengapa orang tua tidak boleh memainkan peranan yang lebih besar dalam merancang masa depan.

“Usia bukanlah halangan. Kita mesti mencari peluang yang ada dan merebutnya,“ kata Aishah yang merupakan pelajar tertua di kolej berkenaan.

Sementara itu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, Aishah membuktikan bahawa Kolej Komuniti bukan hanya untuk pelajar-pelajar lepasan sekolah.

“Kolej Komuniti bukan hanya untuk golongan muda, bukan sahaja untuk lepasan sekolah tetapi untuk pendidikan seumur hidup. Kursus yang ditawarkan meliputi setiap peringkat dan umur.

“Sesiapa sahaja boleh mendaftar dan menghadiri kursus yang kami tawarkan. Kolej Komuniti adalah untuk semua orang dan juga relevan untuk Revolusi Perindustrian Keempat, “katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Kolej Komuniti Lenggong.

Cawangan Kolej Komuniti Lenggong adalah Kolej Komuniti ke-95 di Malaysia dan Kolej Komuniti ke-14 di negeri Perak. – NST

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker