AntarabangsaIsu Semasa

Mengapa Ada Yang Membenci Malala?

Malala Yousafzai, gadis yang lahir di Lembah Swat, Pakistan pada tahun 1997 ini terkenal di seluruh dunia akibat keberaniannya melawan pihak Taliban dalam menegakkan haknya mendapatkan pendidikan serta ayat popularnya “I am Malala“.

Namun, disebalik pengalaman dan perjuangannya yang telah mendapat pengiktirafan dunia serta Anugerah Nobel Keamanan Dunia pada tahun 2014, beliau dikecam dengan teruk di tanah kelahiran sendiri.

Mengapa mereka sangat membenci beliau sedangkan dunia menyanjung keberaniannya?

Kejadian 9 Oktober 2012 yang menjadi titik perubahan hidupnya yang juga telah membuka mata dunia adalah apabila pihak Taliban sanggup menembak dengan niat untuk membunuh Malala yang baru berusia 15 tahun ketika itu.

Mereka bertindak demikian kerana tidak membenarkannya bersekolah dan bagi mencegah ideologinya disebarkan setelah keberaniannya menulis blog menceritakan kisah hidupnya di bawah penguasaan Taliban, dan usaha beliau ke arah mempromosikan pendidikan kepada kanak-kanak perempuan di sana.

Sumber Gambar: abc.net.au

Malala selamat dari kejadian yang mengerikan itu apabila beliau diterbangkan ke Queen Elizabeth Hospital di Birmingham, England bagi mendapatkan rawatan susulan sehingga tempurung kepalanya terpaksa di keluarkan untuk mengurangkan tekanan kepada otaknya yang semakin membengkak.

Enam tahun setelah kejadian tersebut, Malala pulang ke tanah air untuk pertama kalinya setelah kejadian tersebut, tetapi disambut dengan kata-kata, “I am not Malala“.

Mereka mendakwa Malala sebagai agen CIA orang Barat yang mempergunakannya untuk memburukkan negara Pakistan dan ada yang berkata Malala hanya ingin mencari populariti dan kekayaan menerusi kejadian tersebut.

Dakwaan-dakwaan ini sudah tentu mendapat pelbagai kritikan dari pelbagai pihak dengan ramai yang melabel orang yang mengkritik Malala sebagai ‘bodoh’,’penjilat Taliban’ dan ‘Penyokong Pembunuhan Gadis’.

Tetapi faktor sebenar mengapa Pakistan membenci Malala seperti yang dibincangkan dalam TheStar ialah, misogyny – mereka sebenarnya tidak suka wanita dan bersikap prejudis terhadap kaum wanita. Ini kerana Malala telah mencetuskan idea tidak norma dari budaya asal orang Pakistan iaitu lelaki mempunyai kuasa mutlak ke atas segala perkara dan wanita tiada hak sama sekali.

Malala bukan orang pertama mendapat kecaman seperti ini, sebelum ini Mukhtaran Mai, mangsa yang terselamat daripada rogol berkumpulan sebagai bentuk membalas dendam secara “bermaruah” atas perintah majlis suku kaum tempatan yang lebih kaya dan lebih berkuasa turut dikecam teruk kerana menyuarakan haknya di mahkamah.

Sumber Gambar: npr.org

Wanita yang lantang berbicara tentang haknya tidak pernah berlaku sebelum ini kerana pada kebiasaannya wanita yang dikenakan “hukuman” seperti itu akan membunuh diri tetapi Mukhtaran telah memilih untuk bersuara.

Kejadian ini turut mendapat liputan dari media dunia kerana secara logik akal manusia, ia sesuatu perkara yang sememangnya tidak seharusnya berlaku di dalam sesebuah komuniti. Walau bagaimanapun, akibat daripada perbuatannya itu, Mukhtaran diperlakukan seperti pesalah utama dan masyarakat di situ mahukannya berdiam diri.

Sepertinya Mukhtaran dan Malala kedua-duanya dipersalahkan oleh masyarakat kerana menyuarakan hak wanita.

Untuk orang yang menganggap Barat mempunyai niat jahat dan tersendiri, sememangnya mereka akan melihat Malala sebagai memalukan negaranya sendiri akibat peristiwa tersebut.

Ada pula yang terbawa-bawa sehingga menuduh Malala tidak suka senjata nuklear negara dan ketenteraan Pakistan. Suatu kebencian yang tidak ada kena-mengena dengan dirinya. Walhal, pada masa yang sama di setiap temuramah bersama Malala, beliau sering meluahkan kerinduan terhadap tanah kelahirannya.

Perspektif setiap manusia memang berlainan dan bagi mereka yang membenci Malala, sebab utama yang mungkin menyebabkan mereka bencinya ialah kerana beliau masih hidup untuk mengingatkan kembali peristiwa pahit yang terjadi di Pakistan yang didalangi oleh penduduk mereka sendiri.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker