HiburanWayang

“Rampage” Amukan Raksasa Yang Menghiburkan

Berdasarkan permainan video 80-an, Rampage diarahkan oleh Brad Peyton yang juga mengarahkan filem San Andreas lakonan Dwayne Johnson pada tahun 2015.

Walaupun jalan ceritanya agak mudah diteka tanpa sebarang “plot-twist”, Rampage tetap memberikan hiburan untuk penonton.

Dalam filem Rampage, Dwayne “The Rock” Johnson membawa watak Davis Okoye, seorang ahli primatologi yang mempunyai hubungan istimewa dengan haiwan-haiwan jagaannya. Davis bersahabat rapat dengan George, seekor gorila albino.

Di ruang angkasa, sebuah syarikat korporat membangunkan program kajian pengubahan genetik terhadap haiwan domestik. Kapal angkasa syarikat terbabit meletup dan bahan uji kaji jatuh ke bumi dan terkena kepada George menyebabkannya mula membesar dengan pesat dan mengamuk.

Tidak lama kemudian George dan juga beberapa haiwan lain termasuk seekor serigala dan seekor haiwan yang kelihatan seperti buaya, sudah tidak terkawal. Satu-satunya orang yang boleh bercakap dengan George dan mungkin membantu haiwan-haiwan yang bertukar ganas terbabit adalah Davis.

Dalam usahanya menyelamatkan haiwan dan negara, Davis mendapat bantuan daripada seorang saintis, Dr Kate Caldwell yang dilakonkan oleh Naomie Harris. Dr Kate pernah bekerja dengan syarikat yang bertanggungjawab menjalankan eksperimen genetik itu, sehingga dia menyedari betapa tidak bertanggungjawabnya mereka.

Pasangan itu juga turut dibantu oleh seorang ejen kerajaan bernama Russell lakonan Jeffrey Dean Morgan dalam menjayakan misi mereka. Syarikat korporat itu pula hanya dikendalikan oleh dua orang yang mungkin berkahwin atau mungkin adik beradik, dilakonkan oleh Malin Åkerman dan Jake Lacy.

Rampage sangat menghiburkan walaupun mungkin hasil CGI belum cukup sempurna. Mungkin jika latar kajian genetik tidak dijalankan di stesen angkasa, kesan CGI boleh dihasilkan dengan lebih baik ketika babak helikopter terhempas.

Terdapat juga babak humor sepanjang haiwan-haiwan ganas menghancurkan bandar. Filem ini berjaya menarik fokus penonton ketika pasukan Davis melawan serigala gergasi dan watak Naomie Harris berjaya mencuit hati. Amukan-amukan raksasa yang mengganas juga akan membuatkan anda kekal cemas.

Rampage adalah jenis filem yang menarik seperti filem King Kong vs Godzilla. Dihasilkan oleh tidak kurang daripada empat orang penulis skrip, Rampage bukanlah filem yang rumit untuk dihadam. Sebaliknya, Rampage menjadi sebuah filem santai yang memberikan hiburan ringan dan tiada siapa yang boleh menjayakan watak Davis Okoye sebaik The Rock! – The Guardian

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker