AntarabangsaIsu Semasa

Jurutera Jepun Berjaya Membina ‘Gundam’?

Seorang jurutera warga Jepun, Masaaki Nagumo mempunyai impian untuk membina robot seperti siri anime kegemarannya, “Mobile Suit Gundam”.

Kini, hasrat jurutera berusia 44 tahun itu boleh dikatakan telah menjadi kenyataan apabila beliau berjaya membina robot gergasi yang diinspirasikan oleh anime popular itu.

Memetik laporan Reuters, model robot yang dihasilkan oleh Nagumo diberi nama LW-Mononofu, dan ia dibangunkan di Sakakibara Kikai, sebuah syarikat pembuat mesin pertanian.

LW-Mononofu merupakan robot gergasi berkaki dua yang mempunyai ketinggian 8.5 meter dan beranya pula adalah 7 tan.

Ia juga mempunyai kokpit yang dilengkapi dengan monitor serta tuil bagi membolehkan pemandunya untuk mengawal tangan dan kaki robot berkenaan.

LW-Mononofu – Sumber: Youtube

“Saya rasa ini boleh dijadikan sebagai peluang perniagaan,” kata Nagumo sambil menambah bahawa siri anime Gundam itu dihasilkan di pelbagai platform termasuk manga, filem, permainan video, dan sebagainya.

Difahamkan, Sakakibara Kikai juga telah membangunkan robot dan mesin hiburan di samping peralatan perniagaan pertaniannya.

Syarikat itu turut menyewakan robot-robot mereka dengan harga 100,000 yen (RM 3,594) satu jam untuk digunakan di majlis sambutan hari jadi kanak-kanak serta pelbagai bentuk hiburan lain.

Antara model robot/mesin hiburan ciptaan Sakakibara Kikai termasuk Landwalker dengan ketinggian 3.4 meter, Walker Cyclops, dan juga mesin tinju bergelar Mechboxer.

Walau bagaimanapun, LW-Mononofu merupakan ciptaan yang terbaik setakat ini, di mana ia juga boleh melaksanakan pelbagai pergerakan yang lebih kompleks.

Robot itu berkemampuan untuk menggerakkan jari, bahagian atas badan, dan juga boleh berjalan ke arah depan dan belakang.

Namun, ia masih tidak mempunyai kelajuan seperti robot Gundam yang ditayangkan di dalam anime, dan hanya boleh bergerak pada kelajuan 1 kilometer sejam.

Walaupun memiliki kelemahan dari aspek kelajuan, ia mempunyai kelebihan yang agak luar biasa pada tahap ini.

LW-Mononofu turut dibina dengan senjata yang dilihat seperti “bazooka”, dan boleh menembak bola span getah dengan kelajuan 140 kilometer sejam.

“Sebagai sebuah robot yang diinspirasikan oleh anima dan boleh dipandu oleh seseorang, saya rasa ini adalah yang terbesar di dunia,” ujar Nagumo.

Disebabkan saiz dan ketinggiannya, robot itu masih tidak boleh keluar daripada kilang kerana ketinggiannya sudah melebihi pintu masuk kilang tersebut.

Saksikan video di bawah untuk melihat bagaimana robot ini bergerak.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker