AntarabangsaIsu Semasa

Prabowo Kembali ‘Bertempur’ Dengan Presiden Jokowi

Pilihan Raya Presiden Indonesia 2019 (Pilpres 2019) bakal menyaksikan persaingan semula di antara Pengerusi Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra), Prabowo Subianto dan Presiden Joko Widodo (Jokowi).

Parti pembangkang utama itu telah memilih Prabowo untuk bertanding bagi merebut jawatan tertinggi di republik itu.

Sebelum ini, Prabowo pernah bertempur dengan Jokowi pada pilihan raya tahun 2014, namun tewas dengan kekalahan tipis.

“Kami mengesahkan bahawa Prabowo sudah bersedia untuk menjadi calon presiden dan telah menerima mandat parti untuk bertanding pada (pilihan raya) tahun 2019,” kata timbalan pengerusi Gerindra, Arief Poyuono.

Memetik laporan Reuters, seseorang calon presiden memerlukan sokongan parti yang bersama-sama memenangi 25% undi popular dalam pilihan raya parlimen atau meraih 20% kerusi di dalam parlimen untuk bertanding jawatan presiden.

Difahamkan, Jokowi pernah bekerja sebagai jurujual perabot, dan beliau juga merupakan presiden Indonesia yang pertama dilantik bukan dari kalangan elit politik dan tentera.

Beliau telah meraih sokongan daripada 5 buah parti dan kini mendahului dalam kebanyakan tinjauan pendapat.

Berdasarkan Indo Barometer Survey yang dilaksanakan pada hujung bulan Januari, Widodo meraih 48.8% sokongan daripada rakyat, manakala Subianto hanya memperoleh 22.3%.

Pada masa yang sama, 28.9% responden masih belum membuat keputusan untuk menyokong siapa di antara kedua-dua pemimpin itu.

Di dalam kempennya sebelum ini, Jokowi berikrar untuk menjadikan pertumbuhan ekonomi tahunan di negara itu pada paras 7%, namun beliau hanya berjaya mencapai 5%.

Walau bagaimanapun, keadaan ekonomi di Indonesia dilihat berada pada tahap yang jauh lebih baik berbanding tahun 2014, ketika beliau baru sahaja dilantik menjadi presiden.

Walaupun sasaran asal adalah untuk mencapai 7%, Jokowi menyatakan bahawa pemulihan eksport dan peningkatan pelaburan membuktikan bahawa ekonominya berada pada tahap yang kukuh.

Nilai matawang rupiah turut menjadi semakin pulih, di mana ia telah meningkat hampir 9% berbanding Dolar AS.

Pemimpin tertinggi itu juga mengambil pelbagai langkah pembaharuan bagi membolehkan Indonesia untuk melaksanakan pelan infrastruktur yang disifatkan sebagai yang “terbesar” dalam sejarah negara tersebut.

Sementara itu, Probow yang juga merupakan bekas jeneral, dilihat menggunakan sentiman agama dan perkauman di dalam kempennya untuk menjatuhkan bekas Gabenor Jakarta berbangsa Cina, Basuki Tjahaja Purnama atau lebih dikenali sebagai “Ahok”.

Namun beliau juga berusaha untuk memperbaiki prospek politiknya sewaktu hadir untuk memberikan sokongan terhadap bekas Menteri Pendidikan Indonesia, Anies Baswedan bagi memenangi kerusi jawatan gabenor Jakarta pada tahun lepas.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close