Isu SemasaTempatan

Goh Hock Guan: Pencipta Logo DAP, Arkitek, Dan Ahli Politik

Goh Hock Guan, pencipta logo roket Parti Tindakan Demokratik atau Democratic Action Party (DAP) meninggal dunia pada 29 Mac 2018.

Memetik laporan The Star, anak kelahiran Kedah itu yang juga pengasas syarikat arkitek terkemuka, Goh Hock Guan and Associates , telah menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 83 tahun.

Goh juga pernah menjadi Ahli Parlimen bagi kawasan Bungsar, yang kini dikenali sebagai Bangsar.

Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun yang pertama kali bertemu dengan mendiang kira-kira 50 tahun dahulu, menyifatkan beliau sebagai seorang ahli politik yang berani.

“Pada ketika itu, beliau (Goh) sudah pun menjadi seorang arkitek profesional. Pada waktu tersebut, ia amat sukar bagi golongan profesional untuk menyertai politik.

“Ia memerlukan keberanian yang tinggi untuk memperjuangkan hak rakyat. Saya menghormatinya kerana itu,” kata Fong, yang juga memegang jawatan bendahari kebangsaan DAP.

Selain daripada mempunyai hubungan rapat bersama pengasas Singapura, Lee Kuan Yew, Goh juga menjadi individu yang dipandang tinggi oleh Perdana Menteri Kedua Malaysia, Allahyarham Tun Abdul Razak.

Beliau pernah dipelawa untuk menyertai Barisan Nasional (BN) memandangkan kedua-dua Goh dan Tun Razak mempercayai pendekatan berbilang kaum di dalam politik.

Logo roket DAP yang direka olehnya melambangkan kaum Melayu, Cina, India serta penduduk Sabah dan Sarawak.

Berikut adalah rasional logo roket parti itu:

1. Bulatan berwarna biru adalah lambang perpaduan rakyat Malaysia yang berbilang kaum

2. Latar belakang berwarna putih sebagai lambang kemurniaan dan kejujuran

3. Roket berwarna merah sebagai aspirasi Parti dalam membina sebuah masyarakat yang moden, dinamik dan progresif

4. Empat pemacu roket berwarna  dan merah menandakan sokongan dan daya gerak kepada matlamat Parti oleh semua kaum di Malaysia

Dalam pada itu, mendiang pernah membawa kemenangan 13 kerusi Parlimen kepada DAP pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1969, namun telah menyertai parti komponen BN iaitu Gerakan pada PRU seterusnya pada tahun 1974.

Difahamkan, Goh juga adalah setiausaha agung DAP yang pertama, namun beliau melepaskan jawatan itu selepas memegangnya untuk setahun sahaja, susulan tragedi berdarah 13 Mei.

Kemudian, Lim Kit Siang mengambil alih kepimpinan parti sehingga tahun 1999.

Selain itu, Goh turut menyandang jawatan pengerusi dan pengasas Akitek Jururancang (Malaysia) Sdn Bhd, dan juga merupakan individu disebalik restoran berputar ikonik di Federal Hotel,  sebuah hotel bertaraf antarabangsa yang terletak di Kuala Lumpur.

Beliau telah mereka restoran itu pada awal tahun 1960-an, beberapa tahun selepas negara mencapai kemerdekaan.

Hasil kerja cemerlang Goh yang lain termasuk pembinaan pusat membeli belah terkemuka, Mid Valley Megamall dan Sunway Pyramid.

Beliau turut menjadi perancang bandar untuk projek-projek mega seperti Subang Jaya, Putrajaya, serta Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

 

DAP TIDAK MENGGUNAKAN LOGO ROKET PADA PRU-14

Buat julung kalinya, DAP tidak menggunakan logo roketnya bagi PRU kali ini susulan kegagalan Pakatan Harapan (PH) untuk berdaftar sebagai sebuah pakatan.

“Selama ini, setiap kali bertanding menghadapi PRU, DAP menggunakan logo Roket tetapi kali ini, kita sudah bermesyuarat dan bersetuju untuk menggunakan logo bersama (common logo).

“Ini adalah satu keputusan (guna logo bersama) yang bukan mudah dicapai tetapi DAP bersetuju menggunakannya kecuali di Sabah dan Sarawak, yang tidak terikat dengan keputusan ini.

“Di Sabah dan Sarawak, (calon DAP) boleh terus menggunakan logo Roket,” kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pada sidang media yang diadakan 5 April lalu.

Oleh itu, parti-parti komponen di bawah PH, termasuk DAP, telah bersetuju untuk menggunakan logo dan simbol Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk bertanding pada PRU14.

Namun, beliau tidak menafikan langkah ini turut memberi kesan kepada partinya, tetapi ia adalah penting untuk memastikan pertempuran satu lawan satu dengan BN.

Show More

Related Articles

Back to top button