Hiburan

Pemain Piano Malaysia Ke Pentas Antarabangsa

Louisa Foong yang memulakan pelajaran muziknya pada usia empat tahun di kursus khas Yamaha Music School untuk kanak-kanak berbakat, tidak pernah berhenti untuk memenuhi impiannya dalam menjadi seorang pemuzik wanita yang hebat.

Pemuzik kelahiran Kuala Lumpur yang berusia 25 tahun itu bukan sahaja telah menghasilkan dan mengarahkan video muzik pertamanya “Revival” pada Disember 2015, tetapi telah pun mengadakan konsert pertamanya di Berklee College of Music, Boston, Massachusetts, Amerika Syarikat pada 29 Februari 2016.

Foong, pemain piano, pengeluar muzik, pemimpin band, konduktor dan jurutera muzik, berkata beliau sedang menyiapkan single pertama hasil tulisannya sendiri yang dinyanyikan bersama penyanyi dari Amerika, Tyesha Chaunte. Lagu terbabit dijangka keluar dalam masa terdekat.

Beliau berkata mendaftarkan dirinya untuk Program Pertukaran Berklee (BTP) di Kolej Muzik Antarabangsa (ICOM) pada tahun 2012, telah mendedahkannya kepada muzik kontemporari.

“Mempelajari muzik kontemporari memang berbeza dari latihan klasik dan saya tidak dapat menafikan bahawa saya agak kekok pada awal,” katanya kepada Bernama.

“Bagaimanapun, saya perlu berusaha kerana persediaan itu penting untuk pengajian saya di Kolej Muzik Berklee pada tahun 2014,” katanya lagi.

Foong tidak menyangkal bahawa belajar di Kolej Berklee sememangnya sukar kerana terpaksa menyesuaikan diri dengan persekitaran baru, dengan tugasan yang sukar dan peraturan yang ketat.

Salah satu cabaran yang dihadapinya adalah membuktikan bahawa sebagai seorang pemuzik wanita, beliau mampu melakukan perkara yang sama seperti pelajar lelaki lain.

Pengalaman yang paling tidak dapat dilupakan Foong adalah ketika melakukan persembahan pembukaan untuk konsert jelajah Richard Clayderman pada tahun 2013 dan menyanyi dengan Berklee Gospel Choir dengan pemenang Anugerah Grammy, Chris Tomlin di konsert “Love Ran Red” di Lowell, AS pada tahun 2015.

Foong juga merupakan seorang keyboardist dan pengubah muzik untuk bandnya, “Starlight Astronauts” dan mereka telah membuat persembahan ketika festival jazz tahunan ke-13 di Shanghai, China tahun lepas.

“Dengan pengalaman saya belajar di luar negara, saya ingin menggabungkan idea-idea, kemahiran dan pengetahuan yang saya ada dalam muzik untuk menaikkan industri muzik Malaysia melalui penyusunan dan pengeluaran muzik,” katanya.

Foong berharap lebih ramai pemuzik wanita terlibat dalam industri supaya tahap inovasi baru dalam industri muzik dapat diwujudkan mengikut pemikiran wanita.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker