AntarabangsaPolitik

Mengapa Yahudi Mahukan Tanah Palestin?

Sejarah pembinaan negara Israel memainkan peranan penting dalam mencorakkan keadaan geopolitik dunia mulai kurun ke-18 sehinggalah sekarang. Ianya dimulakan dengan sebuah pergerakan pada lewat kurun tersebut, yang digelar “Political Zionism”.

Pergerakan itu berperanan untuk membangkitkan semangat nasionalisme bangsa Yahudi di seluruh dunia saat itu untuk memiliki tanah air sendiri.

Terdapat dua faktor mengapa mereka ingin memiliki tanah air sendiri

  1. Kebangkitan gerakan nasionalisme di seluruh dunia.
  2. Mereka satu-satunya kaum di dunia yang tiada tanah air.

Pada tahun 1897, sejumlah orang Yahudi yang berpengaruh dari seluruh dunia telah mengadakan sebuah perhimpunan besar yang dinamakan Kongres Zionis Sedunia di Basle, Switzerland.

Kongres tiga hari itu diketuai oleh seorang wartawan bernama Theodor Herzl. Antara agenda kongres tersebut termasuklah mengenal pasti lokasi tanah air bagi kaum mereka, di samping peranan kongres itu sebagai platform untuk meningkatkan semangat jatidiri di kalangan mereka.

 

Mengapa Palestin?

Theodor Herzl, sumber: THE DAILY BEAST

Melalui kongres tersebut, Herzl merumuskan bahawa Yahudi haruslah mempunyai tanah air sendiri dan ianya haruslah terletak di Palestin.

Ini kerana warga Yahudi menganggap tanah itu sebagai “The Promised Land”, yang mana nenek moyang mereka pernah mendudukinya sebelum diusir oleh Assyria, Babylon dan Rom pada masa dahulu.

Penolakan Kerajaan Uthmaniah

Namun, Palestin pada kurun ke-18 berada di bawah penguasaan Empayar Uthmaniah, dan Sultan ketika itu iaitu Sultan Abdul Hamid II berkeras untuk tidak melepaskannya kepada kaum Yahudi.

Ini dapat dilihat melalui reaksi baginda sewaktu dikunjungi oleh Herzl dan rakannya Philip de Newlinski pada tahun 1896.

Dua tokoh Zionis itu telah bertemu baginda dan menawarkan wang berjumlah 20 juta pound sebagai bayaran untuk melepaskan Palestin. Namun Sultan Abdul Hamid II menolak dan menjawab:

Sekumpulan askar dan penguasa Uthmaniah sewaktu menziarahi Jerusalem

“Beta memohon maaf kerana tidak dapat menyerahkan Palestin. Tanah itu adalah milik rakyat, bukan milik beta sendiri.

Rakyat beta telah berjuang untuk tanah itu dengan penuh darah, dan menyuburkan ia dengan keringat. Sesungguhnya kami akan meneruskan perjuangan kami demi mempertahankan tanah itu.”

Penolakan dari pemerintah Empayar Uthmaniah itu telah melewatkan proses kenegaraan warga Yahudi di Palestin. Lebih menambah rumit keadaan ialah apabila Perang Dunia Pertama pula meletus.

 

Perang Dunia Pertama (WW1)

Tidak lama selepas kongres berlangsung, dunia menyaksikan perang terburuk iaitu Perang Dunia Pertama (WW1).

Ia tercetus apabila pewaris takhta Austria-Hungary, Archduke Franz Ferdinand dan isteri dibunuh oleh seorang pengganas Serbia pada Jun 1914 di Sarajevo.

Austria yang berang dengan insiden itu kemudian mendapatkan sokongan Jerman dan Itali bagi mengisytiharkan perang terhadap Serbia. Kerajaan Uthmaniah kemudian menyertai pakatan ini, yang dinamakan Perikatan Kuasa Tengah (Triple Alliance).

Menyedari keadaan itu, Serbia mendapatkan sokongan daripada sekutunya termasuk Britain, Perancis dan Rusia. Mereka membentuk pakatan yang bernama Pakatan Bertiga (Triple Entente).

Negara-negara yang menyertai WW1

Sepanjang peperangan, Britain dan sekutunya hampir dikalahkan, dan mereka terdesak untuk mendapatkan sokongan Amerika Syarikat (AS) agar turut serta dalam WW1.

Wakil Zionis yang menyedari keadaan itu kemudian mengadakan rundingan dengan British. Mereka melihat bahawa sekiranya mereka dapat mempengaruhi komuniti Yahudi di Amerika supaya menggesa AS membantu Britain memenangi WW1, maka sebagai balasan Britain haruslah membantu mereka merealisasikan impian membina negara Yahudi di Palestin.

Britain yang pada waktu itu dipimpin oleh Winston Churchill bersetuju, dan melalui campurtangan tokoh-tokoh Yahudi yang berpengaruh di Amerika Syarikat seperti Bernard Baruch, Jacob Schiff dan Paul Warburg, mereka akhirnya berjaya meyakinkan Presiden AS ketika itu, Woodrow Wilson untuk menyertai peperangan.

Melalui penyertaan AS, akhirnya Perang Dunia Pertama dimenangi oleh Britain dan sekutu dalam Triple Entete.

Winston Churchill (kiri) bersama Bernard Baruch (kanan)

Namun, impian Herzl untuk membina utopia Bangsa Yahudi di Palestin masih jauh untuk dicapai, kerana sebelum sempat negara Israel ditubuhkan, Perang Dunia Kedua pula menyusul.

Show More

Related Articles

Back to top button