AntarabangsaIsu Semasa

Korea Utara Bersedia Untuk Bersemuka Dengan AS

Buat julung kalinya, Korea Utara telah memberitahu Amerika Syarikat (AS) secara langsung bahawa ia sudah bersedia untuk mengadakan pertemuan secara rasmi bagi membincangkan isu denuklearisasi Semenanjung Korea.

Sebelum ini, AS telah menerima maklumat berhubung perkara tersebut daripada Korea Selatan, yang memainkan peranan sebagai “orang tengah” di antara Pyongyang dan Washington.

Walau bagaimanapun, tiada sebarang maklum balas rasmi yang diberi oleh Korea Utara sendiri, sehinggalah baru-baru ini.

Memetik laporan Sky News, Presiden Donald Trump dan Kim Jong-un dijadualkan untuk bersemuka pada bulan Mei ini.

Sebelum itu, pemimpin Korea Utara dan Selatan akan mengadakan sebuah persidangan pada 27 April ini sekali gus menjadi pertemuan yang ketiga di antara diadakan di antara kedua-dua negara itu.

Namun, Trump menegaskan bahawa sekatan akan terus berkuatkuasa selagi tiada sebarang perjanjian yang dimuktamadkan.

“(Ini) adalah perkembangan yang sangat baik tetapi sekatan akan kekal sehingga persetujuan dicapai,” kata ahli Republikan itu di laman Twitternya.

Dalam pada itu, Kim turut memberi jaminan bahawa beliau “tidak akan mengadakan sebarang ujian peluru berpandu/nuklear dan amat komited untuk denuklearisasi.

Langkah ini merupakan perubahan drastik dari segi kelakuan Kim dan ia ternyata memberi kejutan terhadap ramai pihak.

Pempimpin rejim itu sebelum ini dilihat aktif mengadakan ‘perang mulut’ dengan Trump dan mengugut untuk melancarkan nuklear sekiranya keadaan tidak terkawal.

Trump juga dua kali lima seperti Kim kerana sikapnya yang enggan mengalah dan terus mencetuskan provokasi  untuk membangkitkan kemarahan Korea Utara.

Jutawan hartanah itu juga pernah berikrar untuk membawa “api dan kemarahan” kepada rejim itu jika ia meneruskan ancaman nuklear.

Difahamkan, tiada seorang pun Presiden AS yang pernah mengadakan pertemuan dengan pemimpin Korea Utara memandangkan kedua-dua negara tidak mempunyai sebarang pertalian diplomatik.

Secara teknikalnya, Washington dan Pyongyang masih dalam peperangan susulan konflik Korea yang berlaku pada tahun 1950 – 1953.

Peperangan tersebut tidak ditamatkan secara rasmi, tetapi hanya dengan menguatkuasakan gencatan senjata.

Hal ini menyebabkan Korea Utara bimbang kerana ia masih berpotensi/berisiko untuk menjadi mangsa pencerobohan AS.

Sementara itu, bekas duta AS ke Korea Selatan, Christopher Hill menyifatkan pelawaan Kim untuk bersemuka dengan Trump sebagai satu perkara yang “luar biasa”.

Namun, Korea Utara pernah menjelaskan sebelum ini bahawa ia hanya akan menghentikan program nuklearnya dengan “syarat-syarat tertentu”, termasuk memastikan keselamatan negara dan kepimpinannya terjamin dan dilindungi daripada sebarang bentuk ancaman.

 

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button