AntarabangsaIsu Semasa

China Gesa Komuniti Perniagaan Taiwan Bantah Kemerdekaan

Presiden China, Xi Jinping telah menyeru komuniti perniagaan Taiwan untuk menolak sebarang idea yang berkaitan dengan tuntutan kemerdekaan negara pulau itu.

Memetik laporan Straits Times, Xi sebaliknya meminta komuniti tersebut untuk mempromosikan keamanan dan menjalinkan hubungan yang stabil bersama Beijing.

Hubungan di antara China dan Taiwan menjadi semakin dingin sejak Diplomatic Progressive Party (DPP) yang pro-kemerdekaan memenangi pilihan raya Taiwan pada tahun 2016, apabila menewaskan parti nasionalis, Kuomintang.

Difahamkan, Beijing berpegang teguh dengan dasar “Satu China” dan menganggap Taipei sebagai sebahagian daripada Tanah Besar China.

“Rakan-rakan di dalam komuniti perniagaan pulau itu (Taiwan) perlu berpendirian teguh dan kekal dengan konsensus 1992, membantah kemerdekaan Taiwan dan mempromosikan keamanan dan kestabilan hubungan rentas selat,” kata beliau.

Konsensus 1992 merujuk kepada perjanjian yang dicapai pada tahun berkenaan, di mana kedua-dua pihak adalah sebahagian daripada dasar Satu China.

Xi berkata demikian kepada Vincent Siew, bekas naib presiden parti Kuomintang dan ketua Cross-Straits Common Market Foundation yang berpangkalan di Taiwan ketika berucap di Boao Forum for Asia di Pulau Hainan pada Selasa.

“Masalah Taiwan amat membimbangkan kepentingan asas China. Kami berharap rakyat di seluruh negara dapat bersama-sama memperjuangkan penyatuan tanah air secara aman,” jelasnya.

Pada bulan Mac, Xi pernah menyatakan bahawa Taiwan bakal berhadapan “hukuman bersejarah” jika melakukan sebarang cubaan pemisahan.

Walaupun Presiden Taiwan, Tsai Ing-wen berkata beliau hanya mahu mengekalkan status quo dan keamanan, China turut bimbang jika pemimpin DPP akan berusaha untuk mendapatkan kemerdekaan secara rasmi.

Selain itu, tindakan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang mahu mengukuhkan lagi hubungan dengan pulau tersebut turut meningkatkan lagi ketegangan di antara Taiwan dan China.

Beijing sering kali menegaskan penerimaan AS bahawa Taiwan dan China adalah satu negara merupakan dasar politik demi memastikan hubungan yang baik di antara mereka.

Oleh itu, China membantah sebarang hubungan diplomatik atau ketenteraan di antara AS dan Taiwan.

Hal ini termasuk bantahan China terhadap tindakan Washington yang menjual senjata kepada Taipei.

Pentadbiran Trump dilaporkan telah meluluskan lesen pasaran yang diperlukan oleh syarikat pengeluar AS untuk menjual teknologi kepada pulau tersebut yang akan membolehkan mereka membina kapal selam canggih.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button