Politik

Belia Malaysia, Inilah Masanya Untuk Anda Berkuasa!

Pilihan raya umum akan datang bakal menyaksikan sejumlah besar pengundi kali pertama tetapi pada masa yang sama masih terdapat 3.6 juta rakyat Malaysia yang berusia 21 tahun ke atas yang belum mendaftar untuk mengundi.

Ini adalah jumlah yang besar, walaupun angka Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan bahawa hampir 15 juta orang layak untuk mengundi dalam PRU14, termasuk 1.5 juta pengundi baru.

Lebih daripada 11 juta rakyat Malaysia mengundi pada tahun 2013. Mudah-mudahan, jumlah pengundi ini meningkat pada kali ini. Tetapi hakikat bahawa begitu ramai belia Malaysia yang tidak berminat dalam hak demokratik mereka dan memilih untuk tidak mengundi, amat merunsingkan.

Di negara-negara tanpa institusi politik demokratik, rakyat tidak mempunyai hak untuk mengundi dan suara mereka tidak didengari. Ini bermakna mereka tidak mempunyai pilihan untuk membentuk kerajaan dan masa depan mereka.

Sebaliknya di Malaysia, rakyat sangat bertuah kerana mempunyai hak untuk mencorak masa depan negara. Tetapi kenapa masih ramai orang muda belum lagi melaksanakan tanggungjawab mereka dan menjadi pengundi berdaftar?

Kajian Merdeka Center tahun lalu di 165 kerusi parlimen menunjukkan bahawa golongan muda tidak berminat untuk mendaftar untuk mengundi. Antara sebab yang dikemukakan oleh 604 responden, berusia antara 21 dan 30 tahun, adalah ketidakpercayaan mereka terhadap ahli-ahli politik.

Menurut pengarah Merdeka Centre, Ibrahim Sofian, orang muda menunjukkan kekurangan minat dalam politik adalah kerana isu-isu remeh dan budaya hasutan yang merosakkan politik tempatan.

Politik Malaysia menimbulkan kekeliruan dengan perbalahan dan pertengkaran mengenai isu-isu identiti seperti bangsa dan agama sekaligus membuatkan orang ramai tidak berminat untuk campur tangan.

Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata terdapat lima faktor yang menyebabkan golongan muda tidak menjalankan hak demokrasi mereka.

Golongan belia percaya bahawa sistem pengundian itu tidak selari dengan konsep agama, tidak mempunyai kesedaran akan kepentingan mengundi, selain mereka lebih berminat untuk menyuarakan sentimen mereka melalui media sosial atau demonstrasi dan bukannya melalui undi.

Selain itu, golongan muda juga mengalami ‘political fatigue’ atau keletihan politik dan kurang kesedaran mengenai kemudahan sistem pendaftaran.

Walau apa pun alasannya, sikap tidak ambil peduli golongan muda Malaysia amat menyedihkan. Belia adalah masa depan, tetapi tidak akan ada masa depan untuk mereka jika mereka tidak mengambil langkah untuk membentuk kerajaan yang sesuai dengan keperluan mereka.

Tidak ada gunanya merungut di media sosial mengenai politik dan kerajaan jika anda tidak menggunakan hak perlembagaan anda untuk mengundi. Jangan jadi rakyat yang mengeluh tentang keputusan tetapi memilih untuk tidak mengambil bahagian dalam proses demokrasi.

Malaysia akan menjalani pilihan raya umum ke-14 pada 9 Mei ini. Terdapat 222 kerusi parlimen dan 587 kerusi Dewan Undangan Negeri. Orang-orang yang anda pilih akan mewakili anda dan komuniti anda untuk lima tahun akan datang. Jalankan tanggungjawab anda dan undilah untuk kehidupan anda! – The Star

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button