Bisnes & Ekonomi

MyCar Yakin Untuk Menggantikan Perkhidmatan Uber

Perkhidmatan e-hailing baharu, MyCar, yakin untuk mengisi kekosongan yang telah ditinggalkan oleh syarikat Uber berikutan penggabungan operasinya dengan Grab merentasi rantau ini.

MyCar mula beroperasi pada 1 Februari tahun ini dan dimiliki oleh Platform Apps Sdn Bhd, sebuah syarikat teknologi yang diasaskan oleh Mohd Noah Maideen.

“Kedua-dua Uber dan Grab telah melakukannya dengan baik tetapi pemandu mempunyai pandangan mereka mengenai aspek kebajikan dan operasi. Kami percaya MyCar boleh memberikan keseimbangan ini dan memenuhi keperluan pemandu,” kata Mohd Noah.

Beliau menjelaskan bahawa tidak seperti pesaing yang mengenakan komisen sebanyak 25% ke atas pemandunya, MyCar telah menetapkan komisennya sebanyak 15% sahaja.

“Saya percaya strategi ini akan melonjakkan perkhidmatan MyCar kerana kami berhasrat untuk menjaga kebajikan pemandu kami untuk menerima tambang yang lebih baik sekaligus membantu mereka dalam keadaan ekonomi semasa,” katanya.

Menurut Malaysian Reserve, MyCar masih belum melaksanakan komisen kerana perkhidmatannya masih baru di pasaran. MyCar memulakan operasi dengan 2,000 pemandu dan kira-kira 40 perjalanan sehari dan sejak itu berkembang dengan pesat.

“Kami akan melaksanakan sistem ‚Äúdriver wallet”, yang akan menjadi sistem prabayar dan komisen 15% akan ditolak dari sana.

“Sehingga hari ini, kami mendapat kira-kira 5,000 perjalanan setiap hari. Dengan ketiadaan Uber, kami mendapat lebih banyak pemandu Uber berdaftar dengan MyCar. Kami juga menyasarkan untuk menarik lebih daripada 200,000 pemandu Uber di negara ini,” ujarnya lagi.

“Beberapa pemandu Uber mungkin bertukar ke Grab tetapi ke mana pemandu lain akan pergi? Selepas dua bulan pelancaran MyCar, kami mempunyai kira-kira 10,000 pemandu Uber yang mendaftar dengan kami,” kongsi Mohd Noah.

MyCar sedang berusaha untuk memperbaiki sistem pendaftaran pemandu untuk pemandu baru supaya proses itu boleh dijalankan dengan lebih cepat dan menyediakan mereka dengan pekerjaan / perjalanan dalam masa yang singkat.

MyCar patuh mengikut semua peraturan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat. Dengan hanya tiga bulan di pasaran, Mohd Noah yakin MyCar akan diterima secara meluas di kalangan rakyat Malaysia berikutan maklum balas positif yang diterima.

Perkhidmatan MyCar boleh didapati di Lembah Klang, Ipoh, Johor Bahru, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Pahang dan Kelantan.

Show More

Related Articles

Back to top button