Isu Semasa

Bagaimana Untuk Muat Turun Data Peribadi Anda Di Facebook?

Media sosial dan manusia tidak dapat dipisahkan. Pada masa kini, penggunaan laman sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter dan sebagainya dilihat telah menjadi satu keperluan dalam kehidupan seharian masyarakat di seluruh dunia.

Berdasarkan statistik, Facebook mempunyai lebih daripada 1 bilion pengguna, dan suku akhir tahun 2017 pula mencatatkan 2.2 bilion pengguna aktif setiap bulan.

Namun, ramai pengguna mula bimbang apabila data peribadi mereka telah diperoleh secara tidak sah oleh sebuah syarikat perlombongan data Britain, Cambridge Analytica (CA), yang menggunakannya untuk tujuan politik.

Skandal tersebut telah mencetuskan kemarahan pelbagai pihak memandangkan ia telah menjejaskan data kira-kira 87 juta pengguna laman sosial gergasi itu.

Oleh itu, amat penting bagi setiap individu yang menggunakan Facebook untuk mengetahui maklumat peribadi dan aktiviti mereka secara terperinci.

Orang ramai kini boleh memuat turun segala data mereka dengan beberapa langkah mudah ini:

1. Log masuk akaun Facebook anda

2. Tekan butang di bahagian atas kanan untuk melihat pilihan dan cari “Settings”

3. Sudah sampai ke laman “Settings”, tekan butang “Download a copy of your Facebook data” yang terletak di bahagian bawah. 

4. Selepas itu, sila tekan butang “Start My Archive” untuk mendapat salinan data-data anda. 

5. Masukkan e-mel serta kata laluan untuk dimaklumkan apabila arkib anda sudah boleh dimuat turun. 

Dengan adanya data itu, pengguna boleh mendapatkan senarai rekod panggilan, perbualan, nombor telefon dan sebagainya, termasuk juga lokasi setiap kali anda log masuk akaun.

Proses memuat turun data mungkin akan memakan sedikit masa, bergantung kepada berapa lama anda sudah menjadi pengguna Facebook dan berapa jumlah data anda.

Difahamkan, sekiranya seseorang pengguna sudah menjadi pengguna lebih daripada 10 tahun, Facebook akan mengambil masa 10 minit untuk menghantar data-data peribadi.

Maklumat-maklumat yang pernah dipadamkan oleh pengguna juga akan dipaparkan dalam data berkenaan.

Setelah memuat turunnya, jagalah ia dengan baik dan pastikan ia tidak jatuh pada tangan yang salah kerana data tersebut mempunyai maklumat yang banyak tentang diri anda.

Dalam pada itu, ramai personaliti terkemuka, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk, telah melaksanakan pergerakan #DeleteFacebook susulan pendedahan skandal Cambridge Analytica.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close