Gaya HidupKesihatan

Persediaan Menimang Cahaya Mata

Tidak datang haid, rasa loya dan nak muntah, sentiasa lapar, kerap buang air kecil, rasa letih dan lesu, payudara sakit dan tegang, perubahan emosi dan rasa hendak demam. Itulah di antara petanda besar kemungkinan anda akan menjadi seorang ibu.

Selain daripada itu, anda mungkin akan mengalami perubahan fizikal seperti:

  • warna pada sekeliling puting payudara menjadi lebih gelap
  • timbul garisan tegak berwarna gelap pada perut (linea nigra)
  • kulit kelihatan lebih gelap
  • berjerawat
  • rambut kelihatan lebat.

Walau bagaimanapun, tidak semua wanita akan melalui perkara yang sama. Anda sahaja yang bakal mengetahui perbezaan yang ada pada diri anda dan petanda-petanda ini akan muncul sepanjang proses kehamilan.

Tetapi jangan risau, perubahan fizikal akan hilang setelah anda bersalin.

Jadi apakah perkara yang harus dilakukan sebaik sahaja terasa perubahan pada badan anda?

  1. Periksa kehamilan di rumah dengan membeli kit kehamilan di farmasi atau gunakan bahan yang terdapat di rumah.
  2. Periksa kandungan di klinik setelah mendapat bacaan positif menggunakan kit kehamilan.Anda boleh lakukannya sama ada di klinik kesihatan kerajaan* ataupun swasta.Kedua-dua klinik akan mengadakan ujian klinikal yang sama tetapi untuk klinik kesihatan kerajaan, pendaftaran adalah PERCUMA bagi warganegara dan anda mungkin perlu membayar pendaftaran sebanyak RM5 jika kes dirujuk kepada Pakar.Manakala untuk ujian air kencing anda perlu bayar RM20.Jika di klinik swasta, anda periu mengeluarkan duit sebanyak RM80-RM150 untuk setiap perjumpaan tetapi kelebihannya ialah doktor akan memeriksa kesihatan anda dan scan untuk melihat kandungan menggunakan mesin ultrasound pada setiap perjumpaan**.
  3. Apa yang perlu dibawa bersama semasa perjumpaan pertama di klinik kesihatan***
  • Kad pengenalan
  • Salinan kad pengenalan suami atau sijil nikah (ibu tunggal tidak perlu)
  • Bil api atau air terkini untuk sahkan alamat rumah
  • Surat rujukan dari klinik atau doktor (jika ada)
  1. Sediakan butiran peribadi untuk soalan lazim yang bakal ditanya pada perjumpaan pertama:-
  • Tarikh terakhir haid anda – hari pertama haid pada bulan terakhir (ini adalah untuk menganggarkan tarikh bakal anda bersalin – EDD)
  • Sejarah kehamilan/keguguran (jika ada)
  • Sejarah perubatan dan pembedahan terutamanya jika anda atau keluarga terdekat pernah mengalami penyakit seperti diabetes mellitus, tekanan darah tinggi, sakit jantung, penyakit ginjal atau lain-lain dan sedang dalam rawatan.
  1. Ujian dan pemeriksaan diri. Perkara ini biasa dilakukan pada temujanji yang pertama di klinik kesihatan.
  • Ukur tinggi dan berat
  • Ujian air kencing untuk memeriksa kandungan protein dan gula dalam air kencing (urine)
  • Pemeriksaan tekanan darah
  1. Mendapatkan vitamin untuk kesihatan diri dan bayi. Jika anda ke klinik kesihatan, semua ini akan diberikan kepada anda.
  • vitamin C
  • vitamin B kompleks
  • asid folik
  • zat besi
  1. Dapatkan tarikh temujanji yang seterusnya dan jika anda ke klinik kesihatan, anda dinasihatkan supaya tidak terlepas temu janji atau menukar tarikh temu janji kerana ini akan merumitkan pihak pentadbiran.

Temu janji biasanya akan diadakan setiap:

  • Sekali sebulan hingga minggu ke 28 atau bulan ke 7 kehamilan
  • Dua minggu sekali dalam bulan ke lapan kehamilan
  • Sekali seminggu mulai minggu ke 35 hingga anda bersalin.
  1. Ketahui tanda-tanda bahaya dan sekiranya ia berlaku, anda perlu segera berjumpa doktor:-
  • Darah keluar dari faraj (tumpah darah)
  • Demam yang tinggi
  • Loya dan muntah yang teruk
  • Sakit perut yang luar biasa
  • Penglihatan kabur
  • Kaki dan tangan bengkak

*Anda masih boleh ke klinik kesihatan kerajaan walaupun mahu bersalin di hospital swasta.

**Di klinik kesihatan, setiap perjumpaan akan dikendalikan oleh jururawat profesional tetapi akan dirujuk kepada doktor jika terdapat komplikasi dan doktor akan melihat keadaan pesakit seperti yang dijadualkan.

***Waktu operasi dan hari pendaftaran berbeza antara klinik, jadi lebih baik menghubungi dahulu klinik untuk mendapat kepastian dan kalau boleh usia kandungan anda kurang dari 12 minggu untuk pemeriksaan pertama.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker