Isu SemasaPolitikTempatan

Parlimen Bubar Esok, PRU-14 Semakin Hampir

Akhirnya, masa yang dinanti-nantikan sekian lama telah pun tiba.

Hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan bahawa pembubaran Parlimen, dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong, akan dikuatkuasakan pada Sabtu, 07 April 2018, bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pembubaran ini sekali gus akan menamatkan mandat setiap anggota parlimen, dan negara pula ditadbir oleh kerajaan sementara sehingga pembentukan kerajaan baru bagi tempoh lima tahun seterusnya selepas selesai pilihan raya.

Memetik laporan NST, pengumuman tersebut dilakukan pada jam 12.13 pm yang disiarkan secara langsung di seluruh negara, menerusi televisyen serta saluran media di atas talian.

Susulan itu, Perdana Menteri turut meminta semua Ketua Menteri dan Menteri Besar (kecuali Sarawak), untuk menghadap Sultan, Raja atau Yang di-Pertua Negeri masing-masing bagi mendapat perkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ini adalah untuk membuka jalan agar pilihan raya negeri (PRN) dan PRU dapat dilaksanakan secara serentak oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Sarawak terkecuali daripada mengadakan pilihan raya, memandangkan ia sudah pun dilangsungkan pada tahun 2016.

Oleh itu, jumlah kerusi Parlimen yang akan dipertandingkan adalah 222 sementara DUN pula adalah 505.

PRU14 kali ini, yang disifatkan sebagai “bapa segala pilihan raya”, merupakan PRU yang kedua di bawah kepimpinan Najib.

Beliau telah menerajui Barisan Nasional selepas mengambil allih jawatan Perdana Menteri daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 3 April 2009.

Seperti yang tertakluk di dalam Perkara 55 (4) Perlembagaan Persekutuan, SPR perlu mengadakan pilihan raya dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran Parlimen.

Dalam PRU-13 lima tahun lalu, parlimen dibubarkan pada 3 April 2013, hari penamaan calon diadakan pada 20 April 2013, diikuti hari mengundi pada 5 Mei 2013.

Kini, SPR dijangka akan mengumumkan tarikh hari penamaan calon dan hari mengundi pada minggu depan.

PRU yang akan datang ini juga bakal menyaksikan penglibatan 14,968,304 rakyat Malaysia yang sudah layak untuk mengundi.

Hari Sabtu esok akan turut menyaksikan pelancaran manifesto parti Barisan Nasional (BN). Manifesto pihak pembangkang, Pakatan Harapan (PH) telah dilancarkan pada 08 Mac 2018 manakala blok Gagasan Sejahtera yang diketuai oleh PAS pula membentangkan manifesto mereka pada 18 Mac 2018.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button