AntarabangsaIsu Semasa

Serangan Siber Ancaman Lebih Besar Berbanding Nuklear

United Kingdom (UK) dikatakan berhadapan dengan ancaman yang lebih besar daripada serangan siber Korea Utara berbanding senjata nuklear milik rejim itu.

Perkara tersebut dinyatakan dalam sebuah laporan Jawatankuasa Pertahanan UK.

Laporan itu turut berkata, United Kingdom berkemungkinan besar tidak akan menjadi sasaran peluru berpandu Pyongyang, walaupun ia berpotensi mengembangkan kemampuan senjatanya.

Tetapi, UK sebaliknya lebih berisiko untuk terjejas disebabkan serangan siber yang berleluasa.

Tahun lepas, sistem komputer di Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan atau National Health Service (NHS) negara itu telah lumpuh akibat serangan virus ransomware WannaCry yang dipercayai dicipta oleh Korea Utara.

Menurut Sky News, negara pimpinan Kim Jong-un itu telah membangunkan keupayaan siber mereka sejak awal tahun 1990-an, dan ia telah mempamerkan ‘prestasi yang luar biasa’ apabila berjaya menyerang syarikat Sony pada 2014.

Kini, terdapat pelbagai organisasi canggih yang melaksanakan operasi siber bagi pihak rejim itu, dan pasukan penggodam dilaporkan mempunyai kira-kira 6,800 orang kakitangan.

Memetik laporan Sky News, bekas pengarah operasi dan perisikan agensi M16, Nigel Inkster, menjelaskan kepada jawatankuasa pertahanan bahawa negara pimpinan Kim Jong-un tersebut turut mempunyai unit siber yang beroperasi di sebuah hotel di China.

“Kegiatan mereka pasti diketahui oleh China, memandangkan jalur lebar yang diperlukan dan penggunaan laman web dipantau oleh kerajaan China,” katanya.

Dalam pada itu, anggota-anggota parlimen UK berkata, pihak berkuasa negara itu mungkin boleh menyediakan sistem serangan siber yang mampu menangani ancaman Korea Utara.

Namun begitu, peralatan seumpamanya belum pernah diuji dan sejauh mana keberkesanannya masih belum diketahui.

Bukan itu sahaja, malah pasukan keselamatan siber UK juga mengalami kekurangan kakitangan yang berkemahiran sekali gus mencetuskan kebimbangan sekiranya berlaku sebarang serangan.

Berdasarkan laporan Pejabat Audit Kebangsaan (NAO), 1/3 daripada komputer amanah kesihatan di seluruh UK dan komputer di hampir 600 bilik pembedahan telah terjejas akibat serangan WannaCry.

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button